Safawi ada 'wow factor' berbanding 2 lagi calon pikat Sabah ganti Saddil


  • Podium
  • Selasa, 01 Jul 2025

Buat masa ini, belum ada pengumuman rasmi daripada pihak pengurusan Sabah FC berkenaan pengganti Saddil Ramdani. — Gambar/Facebook Sabah FC

KETIADAAN Saddil Ramdani dalam skuad Sabah FC musim depan bukan sahaja mencetuskan persoalan dalam kalangan penyokong, malah turut mencabar kredibiliti pengurusan pasukan dalam mencari pengganti sepadan bagi posisi sayap kanan.

Manakan tidak, Saddil merupakan antara tonggak utama Sabah sejak beberapa musim lalu, memainkan peranan penting dalam serangan dengan hantaran berbahaya, larian deras serta jaringan dari luar kotak penalti. 

Kehilangannya pastinya dirasai, namun ia juga membuka ruang kepada evolusi taktikal baharu dalam pasukan.

BACA LAGI : Dollah Salleh kunci mulut, Zainal harap 'jodoh' bersama Imigresen FC berpanjangan

BACA LAGI : Masih ada kekosongan, 3 lagi bintang import termasuk Park Tae-su boleh jadi sasaran Kuching City

Beberapa nama mula dikaitkan sebagai calon pengganti, antaranya bintang skuad kebangsaan, Safawi Rasid, pemain import serba lincah, Manuel Hidalgo dan bekas pemain Sri Pahang FC, T. Saravanan. 

Ketiga-tiga pemain ini memiliki profil dan gaya permainan tersendiri, namun keupayaan untuk mencipta impak segera berbeza mengikut tahap pengalaman serta kesesuaian taktikal.

1. Safawi Rasid : Pilihan paling bijak 

Safawi pernah beraksi di Liga Thailand, Liga Portugal dan kejohanan antarabangsa bersama Harimau Malaya. — Facebook/Terengganu FC

Melihat kepada peluang yang ada sekarang, skuad The Rhinos disaran memberi tumpuan penuh untuk mendapatkan khidmat Safawi Rasid bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Saddil. 

Pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menghabiskan tempoh musim lalu bersama Terengganu FC (TFC) itu dilihat sebagai calon paling ideal berikutan pengalaman luas, kepantasan serta ketajaman ketika berada di depan gol.

Selain itu, gaya permainan pemain kelahiran Dungun, Terengganu yang agresif dan memiliki rembatan kaki kiri yang padu juga dilihat mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan Saddil dengan lebih efektif.

Kelebihan utama Safawi ialah keupayaannya menjaringkan gol dari luar kotak penalti dan sepakan percuma sesuatu yang jarang dimiliki pemain tempatan. 

Pada masa sama, Safawi juga pernah beraksi di Liga Thailand, Liga Portugal dan kejohanan antarabangsa bersama Harimau Malaya. 

2. Manuel Hidalgo: Kreatif dan penuh Gaya

Manuel Hidalgo mempunyai kelebihan dalam mencipta peluang dan menyusun serangan daripada bahagian tengah mahupun sayap. — Facebook/ Sri Pahang FC

Nama Manuel Hidalgo mungkin semakin tenggelam dalam kalangan penyokong berbanding Safawi, namun aksi konsisten bersama Kedah Darul Aman FC (KDAFC) dan Sri Pahang FC membuktikan dia antara pemain import yang berkualiti dalam Liga Malaysia. 

Gaya permainannya yang lincah dan kreatif sering mengucar-ngacirkan benteng lawan.

Pemain kelahiran Argentina itu juga mempunyai kelebihan dalam mencipta peluang dan menyusun serangan daripada bahagian tengah mahupun sayap. 

Selain bermain sebagai sayap, Hidalgo juga boleh beroperasi sebagai pemain tengah menyerang.

Fleksibiliti itu memberi kelebihan kepada jurulatih dalam mencorak strategi, terutama jika berlaku pertukaran formasi semasa perlawanan.

Namun, cabaran utama adalah penyesuaian kepada sistem permainan Sabah yang lebih banyak bergantung kepada kelajuan di bahagian sayap berbanding permainan terbuka.

3. T. Saravanan : Tawarkan kepantasan dan tenaga muda

T. Saravanan Saravanan menawarkan kepantasan, tenaga muda dan disiplin taktikal yang tinggi. — Facebook/Sri Pahang FC

Walaupun belum memiliki pengalaman antarabangsa seperti dua calon lain, Saravanan menawarkan kepantasan, tenaga muda dan disiplin taktikal yang tinggi.

Baru berusia 24 tahun, T. Saravanan dilihat sebagai prospek masa depan bola sepak negara. Jika diberi minit permainan konsisten dan bimbingan taktikal yang baik, dia boleh berkembang menjadi pemain sayap kanan utama negara dalam beberapa tahun akan datang. 

Salah satu kekuatan utama Saravanan ialah kebolehannya menghantar bola lintang yang tepat ke dalam kotak penalti. 

Ini menjadi senjata penting dalam mencipta peluang kepada penyerang utama, terutamanya dalam situasi serangan balas.

Jika Sabah berani mempertaruhkan pemain tempatan berbakat, Saravanan boleh menjadi pilihan berani tetapi berbaloi.

Buat masa ini, belum ada pengumuman rasmi daripada pihak pengurusan Sabah FC berkenaan pengganti Saddil, namun dengan jendela perpindahan pemain yang semakin hampir, peminat pastinya menantikan satu keputusan bijak yang mampu mengembalikan sengat Sang Badak di sayap kanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram