LALUAN Selangor FC untuk mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL 2) semakin berliku selepas tewas 0-2 kepada Persib Bandung di Stadium Gelora Bandung Lautan Api, Indonesia pada 23 Oktober lalu.
Kekalahan itu merupakan yang ketiga berturut-turut buat skuad Gergasi Merah dalam saingan Kumpulan G selepas sebelum ini tunduk 2-4 kepada Bangkok United dan Lions City Sailors.
Keputusan tersebut menyaksikan pasukan kendalian Christophe Gamel itu kekal di tangga tercorot kumpulan tanpa sebarang mata selepas tiga perlawanan.
BACA LAGI: Belum separuh musim, sudah ada 3 pemain terpaksa berehat lama akibat kecederaan

Pertembungan semula dua jurulatih berpengalaman iaitu Christophe Gamel (kiri) dan Bojan Hodak. — Facebook/selangorfc
Dalam aksi di Bandung itu, dua jaringan Persib hadir menerusi Adam Alis dan Andrew Jung yang memastikan skuad bimbingan Bojan Hodak terus mengungguli carta Kumpulan G.
Namun, peluang Selangor untuk bangkit masih terbuka apabila mereka bakal melayani kunjungan Persib dalam aksi timbal balik di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada Khamis ini.
Beraksi di laman sendiri pastinya menjadi kelebihan buat Selangor yang masih mengekalkan rekod cemerlang dalam saingan domestik di gelanggang keramat mereka.
Walaupun pernah tewas 2-4 kepada Bangkok United pada 18 September lalu, satu-satunya kekalahan di laman sendiri musim ini, keyakinan skuad Gamel dijangka tetap tinggi untuk mengutip tiga mata penuh.

Kehadiran 'ekor' Gergasi Merah dijangka mampu menyuntik semangat Selangor untuk mendapatkan kemenangan di laman sendiri. — Facebook/selangorfc
Menariknya, pertarungan kali ini turut mempertemukan semula dua jurulatih berpengalaman iaitu Bojan Hodak dan Christophe Gamel yang pernah berentap dalam Liga Super sebelum ini.
Gamel ketika membimbing Sri Pahang FC berjaya menewaskan skuad kendalian Bojan Hodak, Kuala Lumpur City FC dengan keputusan 2-1 pada 7 Mei 2022.
Dalam aksi tersebut, bekas pemain sayap Tok Gajah, Manuel Hidalgo dan Azam Azih masing-masing mencetak satu jaringan, manakala Paulo Josue menjaringkan satu gol sagu hati buat skuad Warga Kota.
Perlawanan ibarat ulangan tersebut bukan sekadar misi membalas dendam buat Selangor, tetapi juga peluang untuk Gamel mengulangi sentuhan magisnya menewaskan Bojan sekali lagi namun kali ini di pentas Asia.
Dengan sokongan padu 'ekor' Gergasi Merah di Stadium MBPJ serta rekod kebal di laman sendiri, The Red Giants diyakini mampu bangkit meskipun kini berdepan jurang besar dalam saingan ACL 2. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
