[VIDEO] 'Baru tahu susahnya Liga Super', musim pertama ajar penyerang buruan Perak 'sesuatu'


  • Podium
  • Isnin, 03 Nov 2025

Imigresen kini menghuni tangga kelapan carta Liga Super selepas mengumpul enam mata daripada lapan perlawanan. — Facebook/mfl

PENYERANG berbisa, Wilmar Jordan muncul wira buat Imigresen FC apabila membantu pasukan itu meraih kemenangan sulung dalam saingan Liga Super musim 2025/26.

Penantian panjang itu berakhir dengan penuh bergaya selepas skuad bimbingan Yusri Che Lah menundukkan Penang FC dengan keputusan 1-0 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Ahad.

Kemenangan berharga itu sekali gus melepaskan tekanan ke atas kem Imigresen yang sebelum ini berdepan kemarau kemenangan dalam beberapa perlawanan awal musim.

BACA LAGI: Belum separuh musim, sudah ada 3 pemain terpaksa berehat lama akibat kecederaan

BACA LAGI: [VIDEO] Bek Kedah-Ex Perak dan bintang Selangor FC II antara nama diperhatikan 'naik pangkat' ke Liga Super

Mengulas kejayaan tersebut, penyerang kelahiran Colombia itu mengakui bahawa saingan Liga Malaysia sangat kompetitif dan mencabar buat dirinya.

“Kali pertama saya bermain di sini, Liga Malaysia memang sangat sukar, benar-benar mencabar.

"Namun tidak mengapa, ini tugas saya. Saya mahu memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan demi membantu pasukan,” ujar Wilmar dalam satu hantaran video yang dikongsikan oleh pemerhati sukan tempatan, Fadhirul Shuhaimi di laman X.

Untuk rekod, Wilmar sememangnya merupakan pemain idaman Yusri sejak musim lalu.

Ketika membimbing Perak FC, jurulatih berpengalaman itu sudah menyuarakan minat untuk mendapatkan khidmat penyerang berusia 35 tahun itu bagi memperkukuh jentera serangan pasukannya.

Namun, rundingan bersama pihak pengurusan Perak ketika itu tidak membuahkan hasil meskipun spekulasi perpindahan Wilmar hangat diperkatakan di media sosial.

Imigresen FC akhirnya menamatkan kemarau kemenangan apabila menundukkan Penang FC 1-0. Facebook/mfl

Musim 2025/26 bagaimanapun membuka lembaran baharu buat Yusri apabila suara dan perancangannya akhirnya didengari oleh pengurusan Imigresen FC yang kemudian berjaya membawa masuk Wilmar ke dalam skuad The Mighty Tiger.

Kehadiran penyerang import berpengalaman itu kini membuahkan hasil apabila Imigresen mula menunjukkan peningkatan prestasi dan keyakinan di atas padang.

Untuk rekod, Wilmar kini menjaringkan dua gol bersama Imigresen FC, masing-masing ketika menentang Negeri Sembilan FC pada 20 September 2025 dan terbaru menentang Penang FC.

Dengan kemenangan tersebut, Imigresen kini menghuni tangga kelapan carta Liga Super selepas mengumpul enam mata daripada lapan perlawanan, hasil satu kemenangan, tiga seri dan empat kekalahan.

Kemenangan itu bukan sekadar tiga mata penting, tetapi juga menjadi suntikan moral besar buat skuad Yusri untuk terus melakar kejutan dalam saingan Liga Super musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram