BERITA mengecewakan diterima peminat tanah air apabila Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menolak rayuan dikemukakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung kes pemain warisan pada Isnin.
Keputusan itu menyaksikan hukuman berupa penggantungan 12 bulan dan denda ke atas mereka yang terlibat dikekalkan sementara FAM juga perlu membayar CHF 350,000 atau kira-kira RM 1.9 juta.
Harapan negara ketika ini terletak di bahu Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) apabila badan induk bola sepak negara tersebut berhasrat mengheret kes berkenaan ke muka pengadilan.
BACA LAGI: [VIDEO] RM1 juta untuk Muar! Syed Saddiq tamatkan cabaran Ironman bawah masa 13 jam
BACA LAGI: 'Kami kawal apa yang boleh', Faisal Halim enggan kontroversi pemain warisan ganggu Harimau Malaya

FIFA mengekalkan hukuman berupa denda dan penggantungan ke atas FAM. — Agensi
Tetapi, persoalannya, apakah kesan sekiranya keputusan dibuat berpihak kepada negara dengan pemerhati sukan negara, T Avineshawaran tampil menjelaskan perkara yang bakal dibicarakan.
"Apa yang bakal disemak CAS bukanlah fakta kes, tetapi lebih berkaitan proses kes. Adakah FIFA mengikut peraturan mereka sendiri? Adakah FAM diberi ruang perbicaraan adil? Adakah susur masa prosiding dituruti?
"Sekiranya terdapat kesilapan prosiding, FAM mempunyai harapan tipis. Tetapi, sekiranya CAS mengesahkan jawatankuasa disiplin FAM bertindak tepat, penggantungan 12 bulan akan dikekalkan," katanya.
Setelah rayuan ditolak, FAM diberikan tempoh 10 hari untuk memperolehi keputusan bersebab daripada FIFA sebelum boleh mengheret kes terbabit ke CAS dalam masa 21 hari.

Avineshwaran (dua dari kanan) menegaskan bagaimana isu tersebut mencalarkan kredibiliti FAM.
Bagaimanapun, ramai melihat keputusan FAM meneruskan perbicaraan tidak akan menjanjikan perubahan kerana badan bola sepak antarabangsa terbabit sudah mempunyai dokumen lengkap berhubung skandal berkenaan.
Malah, Avineshwaran turut berpandangan impak lebih besar akan melanda arena bola sepak negara sekiranya Jawatankuasa Disiplin AFC mendapati terdapat pelanggaran peraturan.
"Garis masa memainkan kesan yang cukup besar kerana pertandingan AFC akan berlangsung dalam masa terdekat. Perlawanan akhir dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027 adalah pada 31 Mac depan dan keputusan lewat akan memberi kesan terhadap penyertaan negara.
"Prinsip 'double jeopardy' boleh menghalang hukuman yang berulang tetapi pemotongan mata atau penyingkiran masih merupakan sebuah kemungkinan bergantung kepada hasil perbicaraan di CAS," katanya.

AFC masih boleh mengenakan hukuman lebih berat ke atas pasukan negara dan FAM. — Agensi
Tidak terhenti di situ, skandal berkenaan membawa kesan lebih mendalam apabila imej dan integriti FAM akan tercalar dengan usaha untuk membinanya semula bukanlah hal mudah.
"Ini adalah kali pertama FAM berdepan kes besar melibatkan perkara ini dan ia sudah mendedahkan kelemahan dari segi tadbir urus, pengesahan dan pengeliaan.
"Terdapat juga risiko ke atas kerajaan dan entiti swasta. Meskipun Kementerian Belia dan Sukan mendambakan ketelusan, penglibatan secara terus akan jelas melanggar peraturan FIFA yang menghalang campur tangan politik," katanya lagi.
Avineshwaran turut menekankan bagaimana FAM perlu lebih terbuka dalam pelbagai aspek, termasuk dokumentasi selain perlu memberi didikan terhadap petugas pentadbiran supaya tidak mengulangi kesilapan. — The Star/T AVINESHAWARAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
