Sudah jatuh ditimpa tangga, aksi kelab bintang warisan Harimau Malaya ditangguh angkara tiada siapa mahu jadi 'tuan rumah'


  • Podium
  • Rabu, 29 Okt 2025

Nama Rodrigo Holgado kembali mencuri perhatian susulan kelabnya di Colombia dipaksa menangguhkan perlawanan baru-baru ini.

KRISIS pemain warisan yang melanda bola sepak antarabangsa terus menjadi perbualan hangat selepas nama penyerang warisan sensasi Harimau Malaya, Rodrigo Holgado kembali mencuri perhatian susulan kelabnya, America de Cali di Colombia dipaksa menangguhkan perlawanan baru-baru ini.

Malah, America de Cali turut berdepan kecaman selepas perlawanan menentang Boyaca Chico dalam saingan Liga Colombia 2025 bagi pusingan ke-18  yang sepatutnya berlangsung pada Khamis petang.

Difahamkan, perlawanan melibatkan pasukan America de Cali  dijadual berlangsung di Bogota, Colombia, namun terpaksa ditunda selepas Suruhanjaya Keselamatan bandar itu menarik balik kebenaran pada saat-saat akhir, biarpun segala syarat keselamatan dan cukai telah dipenuhi.

BACA LAGI : 'Thank you Malaysia', fans America de Cali anggap penggantungan Holgado ada hikmahnya, cabar kredibiliti sebenar kelab

BACA LAGI : [VIDEO] Ruang khas bantu anak autisme bertenang di pusat beli-belah, rakyat Amerika sanjung keprihatinan Malaysia

Kejadian itu sekali lagi mengganggu jadual pertandingan badan induk bola sepak Colombia memandangkan saingan pusingan liga perlu ditamatkan minggu hadapan, dan semua pasukan seharusnya beraksi mengikut syarat yang sama rata.

Menurut pegawai bandar, keputusan penolakan pada saat akhir itu dibuat kerana terlalu banyak acara lain yang telah dijadualkan di bandar Bogota pada tarikh berkenaan, selain mengambil kira bahawa penganjuran perlawanan bola sepak profesional memerlukan sokongan besar daripada pihak berkuasa tempatan.

Presiden Liga Colombia, Carlos Mario Zuluaga, tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya dan menganggap keputusan itu sebagai 'bencana' kepada liga dan semua pihak yang terlibat.

 Presiden Liga Bola Sepak Profesional Colombia (Dimayor), Carlos Mario Zuluaga

“Akibatnya sangat teruk untuk liga dan semua pasukan lain. Kami telah patuhi segala keperluan, namun setiap hari ada alasan baharu. 

"Kami sudah bersedia bermain, tetapi dihalang tanpa sebab munasabah,” katanya kepada media sukan tempatan, Zona Libre de Humo.

Zuluaga turut menegaskan pihak liga kini tertekan mencari tarikh baharu memandangkan jadual saingan pusingan liga mesti tamat minggu depan.

Lebih malang, beberapa bandar termasuk Armenia, Pereira dan Ibague menolak untuk menjadi tuan rumah, dipercayai kerana faktor keselamatan membabitkan penyokong setia America de Cali yang terkenal dengan reputasi ganas di luar padang.

"Kami sudah cuba banyak lokasi, tapi ramai pihak tidak mahu menerima kerana bimbang isu keselamatan penyokong. 

"Kami tidak mahu ada kelebihan buat mana-mana pasukan, tapi situasi ini memang sukar," jelasnya.

Pada masa ini, kedua-dua pasukan serta penyokong kelab bola sepak Colombia itu sedang menantikan tarikh baharu perlawanan itu dijadualkan semula, memandangkan pasukan berstatus ‘The Red’ itu sedang berjuang untuk menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik dan hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi dalam kalendar pertandingan. — Agensi 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram