BEKAS pemain kebangsaan, James Wong menyeru Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) agar tidak membawa kes melibatkan tujuh pemain bola sepak negara ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Mengulas keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang menolak rayuan FAM terhadap hukuman yang dikenakan ke atas badan induk bola sepak negara dan tujuh pemain terbabit, James berkata, tindakan membawa kes itu ke CAS mungkin bukan langkah yang bijak.
BACA LAGI: Skandal pemain warisan: Laporan jawatankuasa bebas dijangka siap dalam tempoh 6 minggu
"Ia akan melibatkan kos, duit siapa yang akan digunakan? Apa yang kita cuba buktikan? Kadang-kadang kita perlu terima hakikat yang pahit," katanya pada Selasa.
Beliau turut menggesa FAM menjadikan situasi itu sebagai peluang untuk membina semula kekuatan bola sepak negara.
"Jika kita benar-benar mencintai sukan ini, kita mesti membina semula dengan integriti dan belajar daripada kesilapan. Tiada jalan pintas dalam bola sepak," katanya.
Pada Isnin, FIFA menolak rayuan FAM dan mengekalkan semua hukuman termasuk penggantungan 12 bulan terhadap tujuh pemain serta denda sebanyak 350,000 franc Swiss (RM1.8 juta) ke atas badan bola sepak negara itu.
Kesemua pemain tersebut dihukum FIFA selepas didapati memalsukan dokumen untuk menjadi pemain warisan negara ini dan beraksi dalam beberapa perlawanan mewakili Malaysia. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
