
BINTANG skuad kebangsaan, Faisal Halim tidak mahu fokus Harimau Malaya terganggu kerana isu melibatkan tujuh pemain warisan, sebaliknya dia ingin berikan yang terbaik di padang menentang Laos dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 pada Selasa.
Masih diselubungi isu pemalsuan dokumen melibatkan tujuh pemain warisan yang dihukum Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Malaysia berada pada landasan terbaik untuk menempah slot ke Piala Asia 2027.
Dengan meraihkan sembilan mata daripada tiga aksi pertama kelayakan, fokus Faisal dan rakan-rakan adalah jelas iaitu menjalankan tugas sebaik mungkin meraih kejayaan.
BACA LAGI: Suhaimi, penjaga gol Selangor dipanggil gantikan duo kiper Harimau Malaya cedera
BACA LAGI: Pecah rekod bekas arkitek Harimau Malaya, Arif Aiman kini penjaring lokal terbanyak JDT
"Sebagai pemain, kami kawal apa yang boleh iaitu memberikan persembahan terbaik untuk pasukan.
"Perkara di luar kawalan kami bukannya tanggungjawab kami. Tanggungjawab kami adalah memberikan yang terbaik untuk Malaysia," kata Faisal.
Faisal tempoh hari menjaringkan gol ketika Malaysia mengalahkan Laos di Vientiane semasa Harimau Malaya menang 3-0.
Dua lagi gol terhasil menerusi Arif Aiman dan Dion Cools.
Tanpa tujuh pemain yang ada, semuanya terserah kepada skuad sedia ada untuk memastikan Malaysia terus megah walaupun keputusan kepada kes tersebut masih menjadi tanda tanya.
"Sebagai pemain, kami sentiasa bersedia untuk pelbagai situasi. Apabila pemain lain tiada, ia adalah tanggungjawab kami untuk bangkit dan memberikan persembahan terbaik untuk pasukan.
"Kami harap penyokong akan datang ke stadium untuk menyokong kami, ia memberikan tenaga tambahan buat kami," jelas Faisal. — The Star/T. AVINESHWARAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram