HARAPAN peminat bola sepak negara kembali menyaksikan ketujuh-tujuh pemain warisan digantung untuk kembali ke atas padang tidak kesampaian selepas FIFA mengekalkan hukuman sebelum ini.
Menerusi kenyataan pada Isnin, organisasi antarabangsa berkenaan menjelaskan rayuan dihantar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak diterima.
Ini sekali gus menyaksikan denda CHF2,000 (RM10,000) serta penggantungan 12 bulan ke atas pemain terlibat dikekalkan dengan FAM turut diarahkan membayar CHF350,000 (RM1.9 juta) kepada FIFA.
BACA LAGI: Di sebalik skandal FIFA, Holgado masih dijulang, jadi tonik bekas rakan sepasukan
BACA LAGI: Gantung Harimau Malaya, 'salin' FAM jika FIFA kekal keputusan

FIFA menjelaskan hukuman denda dan penggantungan berkaitan skandal pemain warisan dikekalkan.
Bagaimanapun, dilema dihadapi badan induk bola sepak negara itu berkemungkinan akan terus berlarutan kerana Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) masih belum memberi sebarang kata putus.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John sebelum ini berkata, pihaknya sedang menunggu kata putus daripada FIFA mengenai keputusan rayuan dikemukakan FAM.
Jadi, dengan kata putus sudah dikeluarkan, terdapat kemungkinan hukuman baharu akan dikenakan ke atas arena bola sepak negara berhubung kes terbabit.
Kemungkinan itu turut dijangkakan media Vietnam, Tien Phong yang melaporkan seorang pegawai tinggi dalam Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) beranggapan tindakan berat bakal dihadapi FAM.
"Keputusan FIFA membuka jalan lebih mudah untuk AFC mengenakan penalti terhadap Malaysia. Seperti kebiasaan, Malaysia boleh dihukum dengan kekalahan 0-3 bagi aksi menenteng Vietnam dan Nepal," kata pegawai itu kepada media Vietnam terbabit.

Laporan dari Vietnam menyatakan terdapat kemungkinan FAM bakal menghadapi hukuman AFC.
Dua perlawanan yang berlangsung dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027 itu menyaksikan penglibatan pemain warisan dihukum dengan semua daripadanya turun beraksi ketika berdepan Vietnam.
Sekiranya hukuman tersebut dikenakan, peluang negara untuk melangkah ke pertandingan peringkat benua tersebut adalah semakin tipis walaupun kini menduduki tangga teratas Kumpulan F.
Namun, jelas portal itu lagi, keputusan AFC masih akan dibuat berdasarkan perbincangan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dengan FAM sedang mengumpul maklumat untuk mengheret kes berkenaan.
"Proses membawa kes itu ke mahkamah memakan masa kira-kira sebulan sebelum perbicaraan bermula. Keputusan akhir hanya dikeluarkan kira-kira dalam masa tiga bulan.
"Tetapi, sekiranya Malaysia tidak mahu membawa kes ke CAS, AFC boleh mengeluarkan keputusan dengan kata putus perlu dikeluarkan sebelum 31 Mac depan untuk Jawatankuasa Pertandingan bagi memastikan penyertaan pasukan dalam Piala Asia 2027," tulisnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
