Hannah Yeoh beri penghormatan letak jersi Team MAS di tempat persemadian Shing Xuen, tekad tangani budaya 'incel'


  • Cinta
  • Isnin, 20 Okt 2025

Hannah Yeoh meletakkan jersi rasmi Team MAS di tempat persemadian Shing Xuen pada Isnin.

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Utama 4, Selangor, Yap Shing Xuen dengan meletakkan jersi rasmi Team MAS di tempat persemadiannya pada Isnin.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, tindakan itu dibuat sebagai tanda penghargaan terhadap semangat kesukanan remaja berusia 16 tahun itu yang aktif bermain bola tampar sebelum meninggal dunia secara tragis pada Selasa lepas.

“Ketika negara mengucapkan selamat tinggal kepada Shing Xuen yang muda hari ini, KBS Malaysia memberikan penghormatan kepadanya dengan meletakkan jersi Team MAS di tempat persemadiannya.

"Saya memberitahu ibunya, Lee Ping bahawa saya mahu Shing Xuen memiliki jersi kebangsaan kita dan Lee Ping menganggap anaknya itu pasti akan menyukainya,” katanya menerusi hantaran di media sosial pada Isnin.

BACA LAGI: Balu pendaki Raja Azlan Shah kenang tragedi pemergian suami di Gunung Tahan, mengerti perasaan isteri arwah Mustaqqeem

BACA LAGI: Tolong, dia satunya tokwan saya', cucu tak putus harap 8 hari datuk hilang di Baling

Shing Xuen merupakan pelajar yang aktif bermain bola tampar. 

Hannah turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menzahirkan komitmen untuk memerangi budaya ‘incel’ iaitu fahaman kebencian terhadap wanita yang berpunca daripada rasa kecewa diri dan berpotensi membawa kepada tindakan ganas dalam kalangan golongan muda.

Pada pagi Isnin, kira-kira 500 orang hadir termasuk ahli keluarga, guru dan rakan sekolah bagi memberi penghormatan terakhir kepada Shing Xuen di dewan persemadian Nirvana 2, Kuala Lumpur.

Upacara bermula pukul 9.30 pagi dengan bacaan doa dan penghormatan terakhir daripada keluarga dan kenalan rapat. 

Lebih 30 guru dan pelajar SMK Bandar Utama 4 turut hadir bagi mengiringi perjalanan terakhirnya.

Tragedi menimpa Shing Xuen berlaku pada 14 Oktober lalu, apabila seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun menyerangnya menggunakan pisau di tandas sekolah.

Ibu mangsa kemudian memaklumkan dalam sidang media bahawa anaknya mengalami lebih 200 kesan tikaman.

Polis menahan suspek terbabit dan menahannya reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan. Laporan bedah siasat dijangka siap dalam tempoh sebulan.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram