FIFA tak persoal prosedur JPN tapi kelayakan 7 pemain warisan — Khairi


  • Podium
  • Isnin, 13 Okt 2025

Timbul dakwaan mengenai kesahihan hubungan darah pemain warisan dengan Malaysia sebagai syarat kelayakan mereka. — Facebook/ Malaysia NT

EXCO Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Muhammad Khairi Zainol Abidin menggesa Menteri Belia dan Sukan (KBS), Hannah Yeoh tampil memberikan penjelasan berhubung isu tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang didakwa terlibat dalam kes pemalsuan dokumen asal usul oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Menurutnya, isu berkenaan bukan sekadar soal kesilapan pentadbiran seperti yang dijelaskan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), tetapi melibatkan persoalan lebih besar tentang ketulenan dokumen dan kelayakan pemain untuk mewakili Malaysia di bawah status pemain warisan.

“Kementerian Belia dan Sukan tidak boleh berdiam diri. Menteri perlu menjawab sama ada tujuh pemain ini benar-benar menepati syarat dan peraturan FIFA untuk mewakili Malaysia sebagai pemain warisan,” tegas Muhammad Khairi dalam satu kenyataan pada Isnin.

BACA LAGI: Kongsi foto atas padang, 2 pemain warisan optimis kembali beraksi secepat mungkin

BACA LAGI: ‘Yang mana satu?’, antara Josue-Mintah, siapakah pilihan terbaik Cklamovski?

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (tengah). Facebook

FIFA sebelum ini mendakwa terdapat pemalsuan dokumen berkaitan datuk dan nenek kepada tujuh pemain naturalisasi iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Badan induk bola sepak dunia itu mendapati maklumat yang dikemukakan kepada mereka berbeza dengan dokumen asal yang diperoleh daripada pihak berkuasa negara asal pemain berkenaan.

Berikutan penemuan itu, FIFA mengenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) terhadap FAM, manakala setiap pemain dikenakan denda CHF2,000 (sekitar RM10,560) dan digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.

Bagaimanapun, FAM dalam kenyataannya menafikan berlaku pemalsuan dokumen dan menjelaskan insiden tersebut berpunca daripada ralat pentadbiran (wrong submission) apabila seorang kakitangan tersilap memuat naik dokumen yang diperoleh daripada ejen bukannya dokumen rasmi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Facebook

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, sebelum ini menegaskan bahawa taraf kewarganegaraan tujuh pemain tersebut diberikan mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan, khususnya di bawah Perkara 19 dan Seksyen 20(1)(e) Jadual Kedua Bahagian 3, serta Seksyen 10(a) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957.

Namun, menurut Muhammad Khairi, isu sebenar yang dibangkitkan oleh FIFA bukan soal kewarganegaraan, tetapi kesahihan dakwaan hubungan darah pemain dengan Malaysia, yang menjadi asas kepada kelayakan mereka sebagai pemain warisan.

"Apa yang dipersoalkan badan dunia tersebut adalah tentang kelayakan pemain-pemain ini untuk bermain sebagai pemain bola sepak warisan Harimau Malaya yang sepatutnya mengikut undang-undang dan peraturan FIFA.

"Isu yang dipertikaikan adalah persoalan di peringkat pemalsuan dokumen yang mengatakan tujuh pemain ini ada hubungan darah dengan Malaysia bagi melayakkan taraf pemain tersebut sebagai pemain warisan Harimau Malaya.

"Persoalan ini menimbulkan polemik yang lebih membimbangkan apabila didakwa wujud penafian daripada beberapa keluarga pemain tersebut yang menyatakan bahawa memang pemain tersebut tiada perhubungan darah dengan Malaysia," katanya.

Tujuh pemain warisan Harimau Malaya digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak. Facebook

Beliau turut mempersoalkan tindakan kerajaan yang didakwa mudah meluluskan kewarganegaraan kepada pemain import, sedangkan masih ramai rakyat di luar sana yang menunggu pengiktirafan kerakyatan.

"Pertikaian ini perlu diselesaikan dengan segera dengan penuh integriti dan ketelusan memandangkan ia melibatkan maruah dan kedaulatan negara.

"Adakah begitu mudah untuk Menteri Dalam Negeri memberikan kewarganegaraan kepada orang tertentu mengikut pertimbangan tertentu, sedangkan berapa ramai lagi golongan tercicir di luar sana yang lebih berhak untuk mendapat kerakyatan," ujarnya.

Kenyataan beliau menambah tekanan terhadap KBS dan FAM untuk menjelaskan sepenuhnya isu yang telah mengundang perhatian luas peminat bola sepak tanah air.

"Menteri Belia dan Sukan sila jawab adakah tujuh pemain ini menepati kriteria yang telah ditetapkan oleh FIFA untuk melayakkan mereka bermain bola sepak mewakili negara sebagai pemain warisan Harimau Malaya?," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram