'Kalau tak tolong, tak bergerak bola sepak Malaysia', 4 kelab termasuk Selangor dapat 'talian hayat' TMJ


  • Podium
  • Ahad, 26 Okt 2025

Bantuan dari TMJ adalah satu bentuk tanggungjawab moral terhadap masa depan bola sepak negara. — Facebook/TMJ

 

 

TUNKU Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan bahawa beliau telah menyalurkan bantuan kewangan kepada beberapa kelab Liga Malaysia (Liga M) yang berdepan masalah kewangan demi memastikan kelangsungan bola sepak tempatan terus terjamin.

Menurut beliau, langkah tersebut bukan untuk mencari pengaruh atau penghargaan, sebaliknya satu bentuk tanggungjawab moral terhadap masa depan bola sepak negara yang memerlukan sokongan kukuh dari segi struktur dan dana.

BACA LAGI: Aduan pemain warisan dari Vietnam, tapi bukan dibuat orang persatuan — TMJ

BACA LAGI: Mendengar sendiri visi jelas TMJ, Indra Putra percaya urus krisis FIFA dapat diselesaikan

"Kalau awak tanya Penang sendiri, ini ada bukti di situ. Contohnya, Penang FC tidak mahu beri duit untuk pembangunan Penang FA. Siapa yang bantu mereka?

"Saya dah tolong pasukan bola sepak sejak 2013. Saya tolong Selangor dua kali ketika Datuk Subahan (Datuk Sri Subahan Kamal). Apa boleh buat, if I didn’t keep the engine going, matilah bola sepak.

"Saya tiada pilihan, itu kira kemurahan daripada saya," kata pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) itu ketika satu sidang media yang berlangsung di ibu kota pada Sabtu.

Tunku Ismail menegaskan, apa yang dilakukan hanyalah demi memelihara kesinambungan liga dan memberikan peluang kepada pemain serta pegawai pasukan untuk terus mencari rezeki dalam ekosistem bola sepak negara.

Beliau turut menyeru agar lebih banyak syarikat besar dan tokoh korporat tempatan tampil membantu dunia bola sepak Malaysia, terutama dalam situasi ekonomi yang mencabar ketika ini.

"Saya harap akan ada syarikat-syarikat besar atau usahawan ternama yang nak melabur. Saya harap mereka akan datang, itu cara sebenar untuk tolong bola sepak tanah air," katanya lagi.

Empat kelab Liga M pernah menerima bantuan kewangan atau sokongan langsung daripada pihaknya, termasuk Pahang, Kuala Lumpur, Selangor dan terkini Penang FC bagi memastikan operasi pasukan tidak terhenti akibat kekangan dana.

1) Selangor FC

 

Subahan antara individu yang pernah berkerjasama dengan TMJ dalam pentadbiran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Ketika Selangor FC belum di bawah pengurusan Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah, Gergasi Merah pernah mendapat 'nyawa kedua' apabila mendapat bantuan daripada Tunku Ismail.

Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang ketika itu diuruskan oleh Datuk Seri Subahan Kamal selaku presiden kelab berkenaan berdepan kesukaran untuk mendapatkan dana sendiri.

Difahamkan, Subahan memberitahu bahawa sumbangan diberikan Tunku Ismail itu disalurkan kepada pasukan Selangor semasa beliau menjadi Presiden FAS dari tempoh 2017-2018.

"Memang TMJ bantu masa saya presiden dan duit itu digunakan untuk membantu bayar gaji. Ketika itu, di Selangor kami tidak ada masalah tentang gaji walaupun tidak dapat satu sen pun daripada kerajaan negeri.

"Ketika itu, TMJ begitu ambil berat dan saya maklumkan memang kami (FAS) ada masalah cari dana, namun Tuanku beritahu ‘tidak ada masalah’.

"Ketika itu juga, kami layak ke final Piala FA 2018. Saya dan pemain amat berhutang budi dengan jasa Tuanku," katanya memetik laporan media pada Mac 2022.

2) Sri Pahang FC

 

Pertemuan Tunku Ismail (kanan) dan Tengku Abdul Rahman pasti dibuat bagi membicangkan isu skuad Tok Gajah sebelum ini. — Facebook/TMJ

Walaupun pemilik Sri Pahang, Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah atau pihak pengurusan skuad Tok Gajah tidak pernah memberitahu secara rasmi namun, Tunku Ismail pernah membantu pasukan itu.

Sebelum Sri Pahang FC memutuskan untuk mundur daripada saingan bola sepak domestik pada akhir musim lepas, skuad Tok Gajah mengalami masalah kewangan yang serius.

Kelab yang penuh bersejarah berkenaan dilaporakan mengalami krisis kewangan pada pada pusingan kedua Liga M 2024/2025 dengan laporan bahawa pemain dan staf tidak menerima gaji hingga tujuh bulan.

Bagaimanapun, masalah berkenaan dilihat mendapat penyelesaian selepas Tunku Ismail bertemu dengan Tengku Abdul Rahman dengan ia yang dipercayai membincangkan kelangsungan pasukan itu menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2024.

Selepas pertemuan berkenaan, barisan kejurulatihan dan pemain Sri Pahang FC menarik nafas lega apabila masalah tunggakan gaji yang melanda pasukan itu sebelum ini akhirnya selesai.

Perkara itu dikongsikan oleh pengurus pasukan, Datuk Dollah Salleh pada April 2025 yang mendedahkan tunggakan gaji sudah dibayar sepenuhnya pada Mac tahun ini atau dalam erti kata lain sebelum final Piala Malaysia.

3) Kuala Lumpur (KL) City FC

Safawi antara yang dipinjamkan JDT kepada KL City. — Facebook/KLCityFC

Tunku Ismail sekali lagi membuktikan komitmen baginda terhadap pembangunan bola sepak tanah air apabila tampil membantu pasukan Kuala Lumpur City (KL City) menerusi pinjaman beberapa pemain utama JDT untuk musim ini.

Walaupun bantuan yang diberikan bukan dalam bentuk kewangan, namun langkah itu dianggap sangat besar maknanya buat skuad The City Boys yang berdepan cabaran dalam memperkukuh pasukan selepas kehilangan beberapa tonggak utama.

Beberapa pemain berpotensi tinggi dari JDT dipinjamkan ke KL City seperti Safawi Rasid, Syamer Kutty Abba, Nicolao Cardoso, adik beradik Lambert (Declan dan Ryan) bagi memperkukuh barisan utama pasukan tersebut dalam saingan Liga Super 2025.

Ihsan yang diberikan oleh Tunku Ismail berkenaan jelas bagi memastikan kelab tersebut terus kompetitif dan tidak terjejas dari segi prestasi mahupun kestabilan skuad.

Langkah itu juga mencerminkan pendekatan berjiwa besar TMJ, yang bukan hanya membantu dari sudut kewangan tetapi turut melihat kepada aspek pembangunan bakat dan keseimbangan liga.

Tindakan TMJ ini turut dipuji peminat bola sepak tanah air yang melihatnya sebagai sumbangan strategik bagi mengekalkan keseimbangan liga, di samping menunjukkan semangat setiakawan antara kelab dalam ekosistem bola sepak Malaysia.

4) Penang FC

Penang FC juga antara kelab pernah dibantu TMJ. — Facebook/PenangFC

Pada musim 2022, Tunku Ismail juga mendedahkan pernah membantu pasukan Penang FC sekali mengenai isu sama.

Dalam satu sidang media ketika itu, pemilik JDT terbabit menyatakan beberapa pasukan pernah menerima bantuannya, termasuk kelab Utara tanah air berkenaan yang tidak dikongsikan maklumat lanjut mengenainya.

Umum mengetahui bahawa Penang FC tidak pernah terlibat dengan masalah pengurusan walaupun prestasi di atas padang adalah sedikit mengecewakan.

Bagaimanapun, sebelum mencapai kestabilan, pihak atasan kelab pernah menjelaskan masalah tunggakan gaji pernah berlaku sekitar 2020 dengan bantuan Tunku Ismail merupakan antara solusi yang mungkin diambil.

Kesan daripada bantuan berkenaan menyaksikan skuad Harimau Kumbang tidak lagi mengalami masalah dan diangkat sebagai pasukan yang diuruskan dengan cermat ketika ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp Channel dan Telegram