SEHINGGA hari ini, peminat terus menantikan keputusan FIFA berhubung rayuan dibuat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membabitkan status tujuh pemain warisan yang digantung.
Peguam mewakili negara dalam kes itu, Serge Vittoz sebelum ini memaklumkan kata putus akan diberikan pada Khamis lalu dengan penyokong tanah air terus menantikan perkara berkenaan.
Namun, selepas kira-kira lima hari, organisasi antarabangsa itu terus membisu tanpa menjelaskan sama ada hukuman berkenaan dikekalkan, dikurangkan atau lebih teruk lagi, semakin membebankan.
BACA LAGI: Masih di Malaysia, pemain warisan setia menanti keputusan rayuan FIFA

Tunku Ismail berpandangan peluang dimiliki negara untuk terlepas dari hukuman adalah tipis. — Facebook/HRH Crown Prince of Johor
Malah, dalam satu sidang media, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berpandangan peluang tipis dimiliki FAM dan ketujuh-tujuh pemain itu untuk terlepas daripada sebarang bentuk tindakan.
Jadi, sekiranya hukuman FIFA dikekalkan atau ditingkatkan, terdapat kemungkinan skuad kebangsaan turut menerima tempias kerana tujuh pemain itu didapati beraksi buat pasukan negara secara tidak sah.
Senario sedemikian bukanlah sesuatu yang asing kerana pada 2017, Timor Leste digantung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) atas kesalahan pemalsuan dokumen pemain.
Hukuman tersebut menyaksikan negara Asia Tenggara itu dihalang daripada menyertai Piala Asia 2023 di samping perlu membayar denda sebanyak AS$20,000 (RM89,000).
Meskipun sebelum ini Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah mengesahkan status kewarganegaraan ketujuh-tujuh pemain itu, statut dan peraturan FIFA yang berbeza boleh menyaksikan hukuman kekal jika tiada bukti kukuh.

Timor Leste pernah dihalang dari menyertai Piala Asia 2023 disebabkan isu pemalsuan dokumen. — Agensi
Di samping itu, FIFA sudah mengeluarkan hasil siasatan yang mendapati kesemua terlibat tidak mempunyai pertalian darah sah, sekali gus menyulitkan lagi keadaan.
Oleh itu, sekiranya pendirian badan antarabangsa itu kekal, Harimau Malaya terpaksa akur daripada terlepas pelbagai kejohanan diiktiraf FIFA, termasuk Piala Asia 2027 dan Piala Dunia 2030.
Jika situasi terbabit berlaku, FAM perlu bertanggungjawab sepenuhnya kerana skandal terbabit berpunca dari sikap sambil lewa pihak tertentu dalam organisasi itu yang boleh dielakkan sekiranya masing-masing lebih tegas dan serius.
Rombakan besar-besaran, terutamanya terhadap barisan kepimpinan perlu dibuat dengan mereka yang tidak lagi kompeten perlu segera melepaskan jawatan.
Meskipun tidaklah menjanjikan kelainan segera, perubahan itu mampu membuktikan terhadap penyokong bahawa badan induk bola sepak tanah air tersebut komited dalam memastikan pembangunan sukan berkenaan.

Yusoff Mahadi memangku jawatan Presiden FAM susulan pengunduran Joehari Ayub. — Facebook/FAM
Malah, jawatan presiden yang kini disandang Datuk Yusoff Mahadi sebagai pemangku susulan pemergian Datuk Joehari Mohd Ayub perlu diisi seseorang yang benar-benar memahami selok belok bola sepak tempatan dan antarabangsa.
Individu yang bakal dipilih juga perlu berani, tegas dan tidak takut dalam melakukan perubahan kerana ciri-ciri sebegitu sudah lama tidak disaksikan.
Wajah-wajah baharu dalam FAM turut berpeluang menyuntik idea berbeza dan tidak lagi terikat pada takuk yang lama dengan kemajuan sudah lama dituntut.
Bagaimanapun, keputusan hanya boleh dibuat badan induk berkenaan kerana desakan demi desakan dilontarkan sebelum ini terus diendahkan sehingga pada akhirnya, nama dan reputasi negara tercalar akibat skandal pemain warisan itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
