FAM lantik Tun Md Raus ketuai jawatankuasa bebas siasat skandal pemain warisan


  • Podium
  • Isnin, 27 Okt 2025

Seramai tujuh pemain warisan terlibat dalam kes pemalsuan dokumen sehingga menyaksikan tindakan diambil FIFA. — Facebook/Malaysia NT

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan pelantikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bebas bagi menyiasat isu dokumentasi melibatkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang dikenakan penggantungan 12 bulan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

FAM dalam satu kenyataan medianya berkata, pemilihan ahli jawatankuasa bebas lain akan ditentukan sendiri oleh Tun Md Raus.

“Berdasarkan pengalaman dan kredibiliti beliau, FAM berharap siasatan dapat dilakukan secara menyeluruh dan teliti sebelum keputusan atau rumusan muktamad dibentangkan,” kata FAM dalam kenyataan pada Isnin.

BACA LAGI : Saya tak akan berhenti cari pemain warisan — TMJ

BACA LAGI : Aduan pemain warisan dari Vietnam, tapi bukan dibuat orang persatuan — TMJ

Pelantikan jawatankuasa itu juga dijangka menjadi langkah penting dalam merungkai punca isu berkenaan serta hala tuju seterusnya bagi pemain terlibat dan skuad kebangsaan.

Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram sebelum ini pada 17 Oktober lalu memaklumkan penubuhan jawatankuasa bebas itu yang tidak melibatkan mana-mana individu daripada FAM, bagi memastikan siasatan dijalankan secara adil, telus dan profesional.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif.

Tun Md Raus mempunyai rekod kerjaya yang panjang dalam bidang kehakiman dan perundangan sejak tahun 1976, termasuk pernah berkhidmat sebagai Majistret, Presiden Mahkamah Sesyen, Timbalan Pendakwa Raya dan Penasihat Undang-undang di peringkat negeri serta kementerian Persekutuan.

Beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1994, sebelum dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 1996, kemudian Presiden Mahkamah Rayuan. 

Beliau kemudiannya menyandang jawatan tertinggi dalam badan kehakiman sebagai Ketua Hakim Negara pada 2017.

Di peringkat antarabangsa, beliau turut memainkan peranan sebagai Presiden Persatuan Mahkamah Perlembagaan Asia dan Institusi Setaraf, selain menjadi ahli Majlis Ketua Hakim Negara ASEAN (CACJ).

Sebelum ini, Majoriti melaporkan FAM dan tujuh pemain warisan iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel dihukum oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

FIFA memaklumkan bahawa FAM mengemukakan dokumen yang dipalsukan bagi mengesahkan kelayakan pemain-pemain terbabit untuk beraksi dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram