Aduan pemain warisan dari Vietnam, tapi bukan dibuat orang persatuan — TMJ


  • Podium
  • Sabtu, 25 Okt 2025

Empat daripada tujuh pemain yang digantung selepas beraksi dalam aksi Kelayakan Piala Asia berdepan Vietnam.

TUNKU Ismail Sultan Ibrahim mengesahkan aduan berhubung tujuh pemain warisan yang digantung FIFA adalah dibuat susulan kemenangan Harimau Malaya ke atas Vietnam.

"Saya diberitahu oleh AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) kerana selepas kita menang ke atas Vietnam, saya dapat tahu terdapat aduan. Saya tak tahu siapa yang buat, tetapi apabila saya tanya kepada AFC, ia bukanlah daripada Konfederasi Bola Sepak Vietnam (VFF).

"Ia datang dari Vietnam, tetapi bukan dalam persatuan bola sepak mereka. Jadi, ia bukanlah Presiden atau Setiausaha Agung, itu apa yang saya diberitahu," kata Tunku Ismail ketika satu sidang media pada Sabtu.

BACA LAGI: Mendengar sendiri visi jelas TMJ, Indra Putra percaya urus krisis FIFA dapat diselesaikan

BACA LAGI: Saya yang syor 7 pemain warisan ke FAM — Tengku Muda Pahang

Laporan berhubung status tujuh pemain warisan dibuat selepas aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam.

Sebelum ini, pelbagai laporan menyatakan aduan dibuat dari negara Asia Tenggara tersebut kerana terdapat pihak menyangkal bahawa kesemua tujuh pemain warisan dimaksudkan adalah tidak sah.

Mereka merupakan Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Imanol Machuca, Rodrigo Holgado, Facundo Garces serta Gabriel Palmero yang kini masing-masing sudah dikenakan penggantungan 12 bulan daripada sebarang bentuk aktiviti bola sepak.

Selain tidak dapat beraksi, FIFA turut bertindak mengenakan denda sebanyak CHF2,000 (RM10,560) terhadap semua pemain serta denda berjumlah CHF350,000 (RM1.8 juta) ke atas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Sejak itu, beberapa siri rayuan sudah dibuat dengan badan induk bola sepak negara juga sudah membuat rayuan dengan harapan hukuman tersebut dapat diringankan mahupun ditarik balik.

Dalam pada itu, Tunku Ismail berkata, hak setiap pemain dihukum sepatutnya diperjuangkan kerana masing-masing sudah disahkan sebagai rakyat tempatan.

"Kita tidak boleh putuskan apa keputusan FIFA. Selain itu, daripada terus menyalahkan mana-mana pihak, saya lebih tertarik untuk cari jalan penyelesaian terhadap isu ini.

"Jadi, sekarang, seperti mana saya katakan, kalau kerajaan sudah katakan dokumen itu sahih, saya tidak melihat sebagai seorang rakyat Malaysia nak mempersoalkan integriti negara," kata Tunku Ismail. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram