ISU kemanusiaan yang berlaku di Sudan ketika ini amat mengejutkan apabila gerakan Rapid Support Forces (RSF) secara terbuka melakukan kekejaman ke atas orang awam.
Tumpuan utama sekesaan adalah terhadap bandar El-Fasher yang terletak di barat Sudan dengan ratusan nyawa sudah terkorban, termasuk wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa serangan seksual dan keganasan.
Berdasarkan laporan, gerakan RSF didukung pelbagai kuasa asing, termasuk dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang sebelum ini menyatakan hasrat untuk melihat konflik di Sudan berakhir segera.
BACA LAGI: [VIDEO] Video terakhir ayah kepada anak buka mata dunia betapa kejamnya perang di Sudan
BACA LAGI: Konflik berterusan, wanita, kanak-kanak jadi mangsa perlakuan 'kejam' di Sudan

Sheikh Mansour (kiri) yang merupakan Timbalan Presiden UAE dikatakan turut terlibat dalam konflik di Sudan.
Kenyataan itu membuatkan ramai beranggapan negara Timur Tengah berkenaan menyalurkan dana dan senjata buat gerakan pemberontak tersebut untuk merampas kuasa dari kerajaan dan Sudanese Armed Forces (SAF).
Kontroversi berkenaan mencetuskan gerakan boikot di peringkat antarabangsa apabila masyarakat global mendesak agar UAE tidak lagi masuk campur dalam konflik kuasa di negara Afrika berkenaan.
Gerakan tersebut turut menyasarkan pemilik Manchester City, Sheikh Mansour Zayed Al Nahyan kerana figura berpengaruh itu merupakan Timbalan Presiden UAE.
Menurut laporan Middle East Eye, ahli politik itu mendukung gerakan RSF selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ketika konflik tersebut semakin memuncak.
Kedua-duanya bertemu ketika wakil rejim Zionis dan tentera Hamas menandatangani perjanjian gencatan senjata dengan terdapat kemungkinan perbincangan diadakan berhubung konflik di Sudan.

Orang ramai berkumpul di luar Stadium Joie yang menempatkan skuad belia Manchester City. — Facebook/City News CL
Meskipun tiada kenyataan rasmi mengenai pertemuan Trump dan Sheikh Mansour, orang ramai termasuk peminat bola sepak antarabangsa mula melihat penglibatan hartawan dari Timur Tengah itu.
Kesal akan perkara tersebut, segelintir peminat Liga Perdana Inggeris (EPL) tampil mengadakan protes di luar Stadium Joie yang merupakan gelanggang buat skuad remaja Manchester City.
Berdasarkan perkongsian City News CL di Facebook, kelihatan puluhan individu berkumpul sambil mengibarkan bendera Sudan dengan mendesak agar konflik di negara terbabit berakhir segera.
"Gerakan tersebut mencerminkan apa yang sering kita saksikan di ruangan komen kelab dan pelbagai saluran lain. Ini kerana RSF yang melakukan keganasan terhadap penduduk di Sudan didukung kerajaan dan individu penting dari UAE.
"Secara peribadi, saya berpandangan ini merupakan isu sensitif dan ia sebenarnya tidak melibatkan landskap bola sepak. Walaupun tidak berkaitan kelab dan pemain secara langsung, keganansan dan insiden sedemikian tidak sepatutnya berlaku," katanya.
Gerakan protes dijangka akan terus dilancarkan di peringkat antarabangsa dengan masyarakat mengharapkan keganasan tersebut dapat berakhir dengan segera. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
