 
                                                DUNIA dikejutkan dengan laporan pembunuhan besar-besaran di El-Fasher, ibu negeri Darfur Utara, selepas kumpulan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) menawan sepenuhnya bandar itu daripada tentera kerajaan Sudan (SAF).
Susulan serangan itu, senator Republikan dan Demokrat di Amerika Syarikat mendesak pentadbiran Presiden Donald Trump mengambil tindakan tegas.
Senator Republikan Jim Risch dari Idaho menyeru agar RSF dinamakan secara rasmi sebagai organisasi pengganas asing.
BACA LAGI: Duduk atas riba ibu, bayi 9 bulan maut nahas empat kenderaan di Setiu
“Keganasan di Al-Fashir bukan kebetulan, ia rancangan RSF. Mereka menyebarkan ketakutan, keganasan dan ancaman secara meluas serta melakukan kekejaman termasuk genosid terhadap rakyat Sudan,” katanya di X.
Sehari selepas itu, Senator Demokrat Jeanne Shaheen dari New Hampshire berkata, beliau mungkin menyokong langkah tersebut tetapi mahu meneliti isu itu dengan lebih mendalam.
Perang di Sudan tercetus pada April 2023 akibat perebutan kuasa antara tentera Sudan dan RSF, mencetuskan keganasan etnik, krisis kemanusiaan terburuk dunia dan kebuluran di beberapa kawasan.
Susulan itu, puluhan ribu orang telah terbunuh dan kira-kira 13 juta penduduk terpaksa berpindah.
Jabatan Negara AS setakat ini belum mengulas rancangan mereka menamakan RSF sebagai organisasi pengganas.
Pada Januari lalu, pentadbiran Presiden Joe Biden sebelum ini mendapati anggota RSF dan sekutunya melakukan genosid serta mengenakan sekatan ke atas pemimpin mereka, Mohamed Hamdan Dagalo (Hemedti), namun RSF menafikan serangan terhadap orang awam.
Al-Fashir yang merupakan kubu terakhir tentera Sudan di Darfur Barat, jatuh ke tangan RSF selepas pencerobohan 18 bulan, mengukuhkan kawalan kumpulan paramiliter itu.
Kumpulan bantuan dan aktivis memberi amaran kemungkinan berlaku serangan balas berasaskan etnik terutama terhadap penduduk dari kumpulan etnik Zaghawa.

Lebih 13 juta penduduk Sudan terpaksa berpindah.
Menurut pelarian Ikram Abdelhameed, pasukan paramiliter menumbuk dan menembak lelaki yang cuba melarikan diri dari bandar yang dikepung itu.
Sementara itu, banyak video kekejaman askar RSF mula tersebar dengan satu daripadanya menunjukkan rakaman terakhir dari seorang ayah kepada anaknya.
Menerusi satu video yang dikongsikan oleh @MilitantTracker, kelihatan seorang anak tidak dapat menahan sebak apabila melihat ayahnya berlumuran darah.
Walaupun ayahnya berlumuran darah ketika serangan RSF, dia masih berusaha menghubungi anaknya melalui panggilan video untuk menyampaikan pesan terakhirnya.
Suaranya semakin perlahan, menggambarkan penderitaan dan kesengsaraan yang dialami rakyat Sudan.
Selain itu, kedengaran juga bunyi tembakan sebelum panggilan video berakhir.
Video itu kini telah meraih lebih 15,000 tontonan di laman X, menarik perhatian ramai terhadap tragedi yang menimpa penduduk tempatan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
