RUBEN Amorim bakal menandakan ulang tahun pertamanya sebagai ketua jurulatih Manchester United pada Sabtu ini ketika pasukannya bersiap sedia menentang Nottingham Forest dalam usaha mengukuhkan kedudukan dalam kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL).
Jurulatih dari Portugal itu melalui perjalanan sukar sepanjang 12 bulan pertamanya di Old Trafford sejak tiba dari Sporting Lisbon.
United menamatkan musim lalu di tangga ke-15, tewas dalam final Liga Europa dan hanya menang satu daripada lima perlawanan pertama musim ini,situasi yang membuatkan Amorim tertanya-tanya sama ada diaakan mampu bertahan selama setahun di kelab gergasi itu.
BACA LAGI:Terlepas aksi Brighton, Amorim optimis Maguire kembali daripada kecederaan
BACA LAGI:[VIDEO] Menang di Anfield, 3 bintang Man United dapat pujian Amorim
“Ada masa-masa yang sukar untuk dihadapi, apabila kalah begitu banyak perlawanan. Itu sangat menyakitkan bagi saya kerana ini adalah Manchester United.
“Saya pernah terfikir mungkin ini bukan takdir saya. Tapi hari ini sebaliknya, saya tahu ini keputusan terbaik dalam hidup saya. Saya mahu terus berada di sini, tetapi untuk itu saya perlu menang menentang Nottingham Forest," katanya.
Kini, Amorim menikmati fasa terbaiknya sejak mengambil alih pasukan, selepas United mencatat lima kemenangan daripada tujuh aksi liga terakhirtermasuk menundukkan Chelsea dan Liverpool untuk kembali bersaing merebut tiket ke Eropah.
Namun, Amorim enggan menganggap cabaran sukar telah berakhir.

Man United sudah melakarkan tiga kemenangan berturut-turut.—Agensi
"Kita perlu positif, tapi juga bersedia menghadapi turun naik bola sepak. Kami belum sampai ke tahap yang boleh dikatakan stabil sepenuhnya.
"Saya lebih mempercayai pemain, dan saya rasa mereka juga lebih mempercayai saya. Kepercayaan itu datang bersama kemenangan, dan kini semua orang dapat melihat bagaimana kami semakin bersatu," tambahnya.
Amorim menegaskan bahawa pasukannya kini lebih matang dan konsisten, sambil menekankan kepentingan untuk kekal fokus terhadap butiran kecil dalam setiap perlawanan.
"Saya boleh katakan kami pasukan yang lebih baik sekarang. Kami tahu itu, dan kesedaran itu membantu kami mengharungi detik sukar dengan lebih baik,” tambahnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
