Kemarau kemenangan 9 aksi terakhir, nasib Pan-gon bersama Ulsan HD ibarat telur di hujung tanduk


  • Podium
  • Ahad, 27 Jul 2025

Terdapat kemungkinan Pan-gon akan digugurkan sekiranya situasi buruk itu berterusan. — Facebook/Ulsan HD

MESKIPUN sentuhan Peter Cklamovski dalam skuad kebangsaan ketika ini cukup menyerlah, rata-rata peminat bola sepak tanah air masih merindukan kelibat bekas pengendali, Kim Pan-gon.

Jurulatih dari Korea Selatan itu tiba memikul peranan dalam Harimau Malaya pada 2022, dengan misi utama iaitu membawa pasukan negara ke pentas Piala Asia 2023.

Tugasan tersebut digalas dengan bergaya apabila pengendali berusia 56 tahun itu mencatatkan beberapa keputusan positif yang menamatkan penantian negara ke pertandingan berkenaan.

BACA LAGI: [VIDEO] Larikan RM500, polis buru geng pecah masuk restoran di Ulu Tiram

BACA LAGI: Bintang Piala Dunia Korea Selatan antara ancaman terbesar JDT jumpa Ulsan HD

Pan-gon masih segar dalam ingatan penyokong selepas membawa Harimau Malaya ke Piala Asia 2023. — Agensi

Meskipun gagal melangkah ke pusingan kalah mati Piala Asia 2023, ia sudah cukup untuk menceritakan Pan-gon sebagai antara ketua jurulatih terbaik pernah disaksikan dalam sejarah.

Bagaimanapun, hanya beberapa bulan selepas melakar sejarah baharu, dia melakukan keputusan mengejut apabila meletakkan jawatan dengan tawaran kelab Korea Selatan, Ulsan HD sebagai faktor terbabit.

Peluang terbabit sememangnya sukar untuk ditolak memandangkan pasukan tersebut baru sahaja kehilangan khidmat Hong Myung-bo yang dikaitkan dengan peranan sebagai ketua jurulatih negaranya.

Keputusan melantik Pan-gon itu jelas membuahkan hasil kerana dia berjaya mengekalkan momentum dalam Liga Korea Selatan sehingga muncul juara selepas mencatatkan kelebihan lapan mata berbanding Gangwon FC.

Tetapi, situasi tidak selalunya indah buat Pan-gon bersama pasukan tersebut apabila rekod mereka musim ini adalah cukup mengecewakan kerana mereka hanya berada di tangga ketujuh selepas 22 perlawanan.

Pan-gon menikmati musim pertama yang cemerlang bersama Ulsan HD. Facebook/Ulsan HD

Skuad bimbingan Pan-gon itu baru mencatatkan lapan kemenangan dan enam keputusan seri setakat ini yang meletakkan mereka dua mata di belakang Gwangju FC di kedudukan keenam.

Berdasarkan format Liga Korea Selatan, Ulsan HD tidak berpeluang untuk mempertahankan gelaran sekiranya keputusan lebih baik dicatatkan apabila mereka hanya akan bersaing dalam fasa penyingkiran.

"Prestasi Ulsan HD di bawah kendalian Pan-gon cukup membimbangkan. Sebelum ini, mereka tersingkir dari pentas Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite, Piala Korea Selatan dan gagal layak ke Piala Dunia Kelab FIFA.

"Lebih parah, pasukan ini sedang berdepan dengan kemarau kemenangan dalam sembilan perlawanan berturut-turut, meletakkan mereka dalam risiku besar untuk berada di zon penyingkiran," tulis penyokong menerusi akaun Facebook Empayar Bola.

Sebelum ini, sentuhan Pan-gon sudah dipersoalkan selepas Ulsan HD menamatkan saingan ACL Elite di kedudukan tercorot dalam pusingan kumpulan ACL Elite 2024/25, termasuk mengalami kekalahan kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.

Jika isu tersebut berterusan, tidak mustahil sekiranya kelab tersebut akan menggugurkan khidmatnya dalam masa terdekat kerana mereka pasti mahu melangkah ke tahap lebih tinggi.

Lebih mengecewakan lagi, bekas pengendali Harimau Malaya itu pasti sukar mencari destinasi baharu untuk musim depan memandangkan peluang untuknya kembali ke skuad kebangsaan hampir pasti tertutup. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram