Suhaimi, penjaga gol Selangor dipanggil gantikan duo kiper Harimau Malaya cedera


  • Podium
  • Isnin, 06 Okt 2025

Suhaimi (kiri) dan Sikh Izhan menjadi pilihan Cklamovski untuk berada dalam kem latihan.

SKUAD kebangsaan terpaksa melupakan khidmat dua penjaga gol, Haziq Nadzli dan Azri Ghani yang mengalami kecederaan dan tidak boleh terlibat dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos.

Dalam satu pengumuman pada Isnin, Sikh Izhan Nazrel dan Suhaimi Hussin sudah dipilih sebagai pengganti dengan kehadiran dua pemain itu mampu membawa perubahan besar buat pasukan.

"Sikh Izhan Nazrel dan Suhaimi Husin dipanggil menyertai kem menggantikan Azri Ghani dan Haziq Nadzli yang terpaksa meninggalkan kem atas faktor kesihatan," tulisnya.

BACA LAGI: KPG-TCH sudah merasa, tiba masa Peter Cklamovski bukti kemampuan tanpa khidmat 7 bintang warisan

BACA LAGI: Hong Wan mungkin terpinggir, 3 bintang Liga M masih ada masa pikat hati Cklamovski

Sikh Izhan dan Suhaimi diumumkan sebagai pengganti kepada kedua-dua penjaga gol cedera itu.

Ini sekali gus menyaksikan kem latihan negara dibarisi empat penjaga gol dengan Kalamullah Al-Hafiz dan Syihan Hazmi turut dipanggil ketua jurulatih, Peter Cklamovski.

Harimau Malaya perlu meraih enam mata penuh dalam kedua-dua perlawanan menentang Laos dalam aksi yang akan berlangsung pada Khamis di tempat lawan sebelum menerima kunjungan mereka lima hari kemudian.

Kemenangan dalam kedua-dua pertembungan itu akan meletakkan skuad kebangsaan dalam kedudukan lebih kukuh dalam Kumpulan F pada kempen Kelayakan Piala Asia 2027.

Haziq (kiri) dan Azri Ghani terpaksa menarik diri akibat kecederaan dialami.

Musim ini, Sikh Izhan sudah beraksi sebanyak dua kali buat Selangor FC iaitu ketika aksi timbal balik Piala FA berdepan Malaysian University FT sebelum berdepan Imigresen FC di pentas Liga Super.

Sementara itu, Suhaimi Husin terus menjadi pilihan utama buat Terengganu FC dengan kehadirannya membantu pasukan tersebut kukuh di tangga ketiga liga.

Kedua-dua penjaga gol itu sebelum ini hanya diletakkan dalam senarai bersedia memandangkan Azri Ghani dan Haziq Nadzli masing-masing cemerlang buat Negeri Sembilan FC dan Kuching City FC.

Sikh Izhan pernah beraksi buat skuad kebangsaan sebelum ini ketika berdepan Papua New Guinea sementara Suhaimi masih menantikan kaps antarabangsa pertama selepas kerap diletakkan di bangku simpanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram