Garces ikut jejak langkah Holgado terbang ke Malaysia, mahu buktikan asal usul datuknya


  • Podium
  • Jumaat, 03 Okt 2025

Garces antara 7 pemain warisan yang digantung FIFA serta didenda CHF2,000 (RM10560.75). — Facebook/MalaysiaNT

SELEPAS Rodrigo Holgado, giliran Facundo Garces pula terbang ke Malaysia untuk menyelesaikan isunya digantung selama setahun daripada aktiviti bola sepak oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Bek tengah kelab La Liga, Deportivo Alaves berkenaan antara tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang digantung FIFA serta didenda CHF2,000 (RM10560.75) dengan mereka mempunyai selama 10 hari untyk membuat rayuan.

Tidak ingin membuang masa, media Sepanyol iaitu El Correo melaporkan bahawa Garces terbang ke tanah air bagi membuktikan asal usul datuknya yang difahamkan berdarah Malaysia.

BACA LAGI: Garces ditohmah fans Garuda, 6 lagi bintang warisan Harimau Malaya terpalit skandal masih ‘kekalkan’ Jalur Gemilang

BACA LAGI: Rodrigo Holgado terbang ke Malaysia, mahu selesaikan isu digantung FIFA

"Pemain bola sepak Alaves itu berada di negara Asia tersebut bagi menyelaraskan rayuan kepada FIFA, yang telah menggantungnya selama setahun kerana menggunakan dokumen yang dipalsukan untuk membuktikan asal usul datuknya," petik laporan itu.

Garces yang sedang menikmati musim terbaiknya bersama kelab La Liga berkenaan bagaimanapun digantung sementara oleh Depertivo Alaves sehingga kes tersebut selesai.

Skandal berkenaan nampaknya memberi kesan kepada nilai pasaran pertahanan itu apabila dilaporkan merosot secara mendadak berdasarkan semakan di portal bola sepak antarabangsa, transfermarkt.com.

Pemain kelahiran Argentina berkenaan kini hanya bernilai €1 juta (RM4.94 juta) berbanding €2 juta (RM9.88 juta) sebelum ini.

Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersama tujuh pemain warisan tersebut dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berhubung isu pemalsuan dokumen.

FAM dikenakan denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain terbabit didenda CHF2,000 (sekitar RM10,560) serta digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak.

Ketika ini, FAM sedang menunggu dokumen penuh keputusan penghakiman sebelum mengemukakan rayuan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram