Noor Azman bertemu Presiden FIFA atas kapasiti peribadi — FAM


  • Podium
  • Rabu, 29 Okt 2025

Tangkap layar menunjukkan kelibat Noor Azman hadir bertemu Gianni Infantino.

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menegaskan gambar Setiausaha Agungnya yang kini digantung tugas, Datuk Noor Azman Rahman bersama Presiden FIFA, Gianni Infantino dirakam di luar acara rasmi badan induk itu.

Menerusi satu kenyataan pada Rabu, FAM memaklumkan gambar berkenaan tidak ada kaitan dengan sebarang urusan rasmi, sebaliknya kehadiran Noor Azman adalah atas kapasiti peribadi.

“Untuk makluman, gambar tersebut dirakamkan di luar acara atau majlis rasmi FAM mahupun FIFA dan kehadiran Datuk Noor Azman atas kapasiti peribadi beliau dan tidak mewakili atau membawa sebarang urusan rasmi FAM,” jelas kenyataan itu.

BACA LAGI: [VIDEO] Akui kecewa dikeluarkan Bojan Hodak, Saddil mohon maaf lepas baling botol, tumbuk cermin bangku simpanan

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Kita main sepasukan’, calon naturalisasi HM bakar semangat sebelum ikat Selangor di Derbi Lembah Klang

Kenyataan FAM berhubung gambar tular Setiausaha Agung badan induk itu bertemu Presiden FIFA baru-baru ini.

FAM turut menegaskan sejak dikenakan hukuman penggantungan tugas pada 17 Oktober lalu, Noor Azman tidak lagi terlibat dalam sebarang aktiviti, mesyuarat atau program rasmi FAM.

Sementara itu, Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berharap agar penjelasan berkenaan dapat merungkai kekeliruan yang timbul susulan laporan yang disiarkan oleh sebuah portal berita baru-baru ini.

Pada 17 Oktober lalu, FAM membuat keputusan untuk menggantung tugas Noor Azman dengan serta-merta bagi memberi laluan kepada siasatan FIFA berhubung status tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

Langkah penggantungan tugas Noor Azman, dibuat susulan tindakan yang dikenakan oleh FIFA terhadap FAM dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

FIFA dalam kenyataannya menjelaskan, FAM didapati menyerahkan dokumen yang dipalsukan bagi tujuan mengesahkan kelayakan pemain berkenaan untuk membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan rasmi antarabangsa.

Tindakan berkenaan sekali gus mencetuskan siasatan menyeluruh terhadap proses pendaftaran dan pengesahan pemain kacukan yang dilakukan oleh badan induk bola sepak negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram