Harry Danish wajib sertai kelab kecil, datang semula ke Selangor dengan penuh karakter


  • Podium
  • Jumaat, 31 Okt 2025

Harry masih perlu memperbaiki beberapa aspek dalam permainannya sebelum dapat diserap masuk skuad utama secara kerap. — Instagram/Harry Danish

KEMARAAN Selangor FC ke separuh akhir Piala FA 2025/26 gagal menghadirkan kepuasan terhadap penyokong selepas pasukan itu tewas dalam suku akhir kedua menentang Negeri Sembilan FC di laman sendiri.

Dalam aksi yang berlangsung pada Rabu, skuad kendalian Cristophe Gamel gagal memanfaatkan kelebihan dimiliki setelah tewas 2-3, namun masih memastikan kemaraan menerusi agregat 6-3.

Kekalahan tersebut sedikit sebanyak menceritakan kelemahan ketara dalam pasukan Lembah Klang itu yang perlu diselesaikan sekiranya mahu menjadi pesaing utama.

BACA LAGI: Kini lebih berani berbanding dulu, Gamel ‘unlock’ potensi sebenar prospek Gergasi Merah

BACA LAGI: Duo beradik, Harry-Haykal anggap satu cabaran tercalon bersama peledak JDT II

Harry (kiri) berada dalam kesebelasan utama buat skuad Gergasi Merah buat pertama kali dalam kariernya. Facebook/Selangor FC

Antara isu perlu dibangkitkan adalah berhubung persembahan sedikit mengecewakan ditampilkan pemain sayap kanan, Harry Danish Haizon yang jelas bergelut dalam kesebelasan utama.

Dia diberi ruang untuk memulakan perlawanan buat kali pertama selepas mempamerkan potensi cerah dalam Selangor FC II yang kini berada di tangga teratas Liga A1 Semi Pro 2025/26.

Malah, penyerang berusia 21 tahun itu sememangnya memiliki potensi cerah kerana beberapa kali berjaya melepasi benteng pertahanan skuad Jang menggunakan kebolehannya untuk menggelecek.

Tetapi, kegagalannya untuk mencetak gol ketika gawang terbuka luas menceritakan bahawa pemain terbabit belum cukup bersedia untuk menjadi watak penting Selangor FC.

Peluang disia-siakan itu jelas menerima kecaman penyokong Merah Kuning yang tidak lagi mahu Harry Danish berada dalam pasukan dengan ada berpandangan dia perlu kekal dalam skuad simpanan terlebih dahulu.

Potensi Harry perlu digilap sekiranya mahu menyaksikannya menjadi watak penting pasukan pada musim-musim akan datang. Instagram/Harry Danish

Meskipun pahit untuk ditelan, pemain itu perlu menyedari realiti bahawa minit permainan mencukupi akan membuatkannya lebih bersedia bersama pasukan senior.

Bagaimanapun, dengan skuad Gergasi Merah kini mempunyai lambakan pilihan di posisi sayap menyerang, dia perlu berani untuk menyertai mana-mana kelab tempatan secara pinjaman.

Penang FC dan Negeri Sembilan FC merupakan destinasi terbaik kerana kedua-dua kelab itu memerlukan lebih ramai penyerang sayap dengan profil Harry Danish mampu mengisi permintaan berkenaan.

Malah, pendekatan tersebut sudah terbukti buat sesetengah pemain yang memilih untuk meninggalkan skuad Gergasi Merah secara pinjaman seperti Sikh Izhan Nazrel dan Alex Agyarkwa dengan masing-masing kini lebih matang.

Sikh Izhan merupakan antara pemain yang memperoleh manfaat selepas berkali-kali dipinjamkan keluar. Facebook/Selangor FC

Selain itu, sekiranya pemain Selangor FC II itu tidak dapat beraksi secara kerap, perpindahan berkenaan masih mampu membawa kesan kerana dia tidak akan terus terperap dalam Liga A1 Semi Pro.

Peluang berlatih dengan pemain kebangsaan akan turut memberi kesan kerana Harry Danish berpeluang menghadapi lawan berpengalaman dan tidak terus berada dalam zon selesa.

Namun, perlu diingatkan bahawa perpindahan tersebut tidak boleh dibuat secara kekal kerana dia masih mempunyai potensi besar buat Selangor FC pada musim-muism mendatang.

Sekiranya pihak pengurusan dan kejurulatihan dapat mengenal pasti langkah terbaik buatnya, Harry Danish akan menjadi aset utama skuad Gergasi Merah dan tidak menjadi seorang lagi pemain berbakat besar yang dilupakan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram