
KEPUTUSAN Selangor FC merehatkan Katsuhito Kinoshi pada September lepas pada awalnya mengundang kritikan berikutan penyokong mempercayai pengendali dari Jepun itu wajar diberi peluang untuk mengubah Gergasi Merah.
Bekas pembantu jurulatih skuad kebangsaan Serbia itu menamatkan kemarau trofi selama sedekad apabila membawa mereka menjulang Piala Cabaran Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) musim lalu.
Usai keputusan merehatkan Kinoshi, tanggungjawab ketua jurulatih kini digalas secara interim oleh Christophe Gamel sementara proses pencarian jurulatih tetap dijalankan.
BACA LAGI: Selangor dikhabar rekrut 2 pemain Colombia, Willian Lira bakal ucap selamat tinggal?
BACA LAGI: Dah cukup sedia, sampai bila Selangor mahu peram Rahman Daud?
Gamel yang pada awalnya diragui mampu menggalas tugas berkenaan membuka mata penyokong dengan membimbing Selangor merekodkan kemenangan 4-0 ke atas Negeri Sembilan FC dalam suku akhir pertama di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Sabtu.
Selain kemenangan besar itu, Gamel juga semakin mendapat pujian penyokong apabila bekas pengendali Sri Pahang berkenaan berani memberi peluang kepada beberapa pemain muda dari skuad Selangor II ke pasukan senior.
Jawatannya sebagai pengendali Selangor FC II sebelum ini menjadi kelebihan buat Gamel lebih mengenali kekuatan dan kelebihan prospek Gergasi Merah, sekali gus membantu mengeluarkan potensi mereka.
Oleh itu, kali ini Majoriti menyenaraikan tiga pemain muda yang bakal menyerlah di bawah bimbingan Gamel.
1) Syahir Bashah
Syahir beraksi 90 minit permainan ketika Selangor menentang NSFC. — Facebook/SelangorFC
Percaya atau tidak, perlawanan menentang Negeri Sembilan pada Sabtu menjadi detik bermakna buat pemain muda Selangor, Syahir Bashah apabila dia akhirnya membuat penampilan pertama bersama skuad senior untuk musim ini.
Sebelum ini, pemain berusia 24 tahun itu lebih banyak beraksi bersama skuad Selangor II, namun aksi sulungnya di pentas utama membuktikan potensi besar yang dimilikinya.
Pemain kelahiran Perak berkenaan beraksi penuh 90 minit dalam perlawanan itu dan menampilkan persembahan matang serta tenang, seolah-olah Syahir sudah lama beraksi di peringkat tertinggi.
Walaupun masih terlalu awal untuk menilai kemampuannya secara menyeluruh, persembahan Syahir wajar menerima pujian dan kredit, apatah lagi dalam suasana tekanan perlawanan kompetitif Liga Super.
Musim lalu, Syahir hanya sempat melakukan enam penampilan dalam saingan Liga Super selain lima lagi aksi dalam dua pertandingan lain, namun kepercayaan diberi Gamel bakal menjadi penentu hala tuju kariernya bersama Gergasi Merah.
2) Harry Danish
Harry juga diturunkan sebagai pemain gantian ketika aksi menentang NSFC. — Facebook/SelangorFC
Walaupun penyerang sayap kanan, Harry Danish sudah mula mendapat peluang sewaktu Kinoshi menjadi jurulatih, tetapi pemain muda berkenana lebih banyak berada di bawah pantauan Gamel bersama Selangor FC II.
Harry musim ini sudah mendapat peluang untuk turun dalam empat perlawanan bersama skuad senior dengan dua daripadanya adalah aksi Liga Super ketika menentang Johor Darul Ta'zim dan Imigresen FC.
Di bawah bimbingan Gamel yang menekankan pembangunan pemain muda, bakat Harry dijangka terus berkembang sama ada dari aspek teknikal dan fizikal anak jati Selangor itu.
Jika terus konsisten dan sabar menanti peluang, Harry mampu menempatkan diri sebagai antara pemain sayap masa depan Selangor, seterusnya menyumbang kepada kekuatan pasukan dalam saingan domestik dan serantau.
Berdasarkan skuad semasa Selangor, Harry boleh mencabar kedudukan Alvin Fortes sebagai penyerang sayap kanan. Ia merupakan satu saingan yang sihat untuk pemain merebut tempat bagi kesebelasan utama.
3) Raimi Shamsul
Raimi ditugaskan sebagai ketua pasukan Selangor. — Facebook/SelangorFC
Bek kanan muda, Raimi Shamsul terus mencuri perhatian apabila mula mendapat tempat dalam skuad utama musim ini, sekali gus menunjukkan potensi besar sebagai pemain masa depan Gergasi Merah.
Musim lepas, Raimi menjadi watak penting skuad Gergasi Merah dalam aksi Piala MFL dengan dia juga diberi kepercayaan untuk menggalas tugas sebagai ketuas pasukan Selangor II.
Pemain muda berusia 21 tahun itu sudah membuat dua penampilan bersama skuad senior termasuk satu aksi di pentas Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) satu pencapaian membanggakan bagi produk akademi Selangor itu.
Keputusan membawa Raimi ke dalam skuad utama dilihat langkah tepat, memandangkan ketika ini hanya Quentin Cheng dan Zikri Khalili tersedia sebagai bek kanan utama, sekali gus membuka ruang buatnya untuk menonjolkan kemampuan sebenar dalam posisi tersebut.
Jika terus menunjukkan komitmen dan prestasi konsisten, Raimi berpotensi besar menjadi antara tonggak utama benteng kanan Selangor pada masa depan, sekaligus memperkukuh barisan pertahanan pasukan dalam saingan domestik dan Asia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram