'Mencari The Ramlahs', 3 bintang wanita SSMP terpilih ke Jepun bersama pemain AMD, terlepas 2 aksi liga


  • Podium
  • Khamis, 30 Okt 2025

Bakat muda dalam SSMP perlu digilap sekiranya mahu memastikan setiap pemain mempunyai karier cemerlang. — Facebook/Bolasepak Wanita SSMP

PEMINAT bola sepak tanah air sudah lama mengharapkan lebih ramai bintang muda dapat berkelana ke luar negara dengan harapan pengalaman asing yang diraih mampu membuahkan hasil positif.

Bagaimanapun, sekiranya mahu berbuat demikian, pendedahan pada usia muda merupakan pilihan terbaik kerana masih terdapat banyak ruang untuk diperbaiki berbanding sekiranya sudah bergelar pemain profesional.

Pendekatan itulah yang diambil pasukan bola sepak wanita Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) apabila tiga pemain utama terpilih untuk menyertai sebuah program di Jepun.

BACA LAGI: Permata Pahang mahu ikut jejak Azurin, tunggu khabar dari Indonesia, Thailand dan Singapura

BACA LAGI: 'No wonder hebat', bintang dalam pembikinan Pahang rupanya 'adik emas' tonggak JDT, Sabah, Tok Gajah

Dalam satu perkongsian dibuat sebelum ini, ketiga-tiga tonggak utama pasukan itu terpaksa melupakan aksi dalam Liga Wanita Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS Girls League) disebabkan hal berkenaan.

"Mereka telah terpilih ke Program Jenesys Japan di Tokyo, Jepun sehingga 4 November (Selasa) bersama 4 lagi pemain lelaki dari Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

"Pemain tersebut ialah kapten pasukan Bawah 16 Tahun (B-16), Nik Ariana Aleesya, pemain pertahanan kanan terbaik WSL (Liga Super Wanita) 2025, Alia Nadhirah dan penyerang, Qhaleesa Maisara," tulisnya.

Ketiga-tiga pemain terbabit memainkan peranan penting buat SSMP dalam pertandingan peringkat domestik memandangkan mereka kini berada di tangga kedua liga.

Malah, pada edisi Liga Puteri FAM edisi lalu, pasukan dari Pahang itu menamatkan saingan di tangga teratas, sekali gus menceritakan kebolehan dan kualiti pemain muda.

Ini merupakan pendedahan cukup penting, lebih-lebih lagi untuk meningkatkan lagi martabat bola sepak wanita tempatan yang belum dapat memberi saingan ke peringkat yang lebih tinggi.

SSMP kini berada di tangga kedua FAS Girls League selepas mengharungi dua perlawanan. — Facebook/Bolasepak Wanita SSMP

Keputusan untuk menyertai program itu sememangnya mendapat respons baik daripada peminat yang teruja untuk menyaksikan impak dan hasil bakal dibawakan kesemua pemain berkenaan.

Malah, peminat menerusi laman Tok Gajah Forever sempat menyamakan pemain terlibat dengan program Mencari Ramli yang pernah menjadi platform 'ubi muda' untuk meraih pengalaman di luar negara.

"Semoga yang terbaik buat tiga pemain 'The Ramlahs' yang dipilih ke Program Jenesys Japan di Tokyo, Jepun. Balik nanti bawakan manisan untuk saya sedikit," tulisnya.

Program Jenesys ASEAN – Japan Sports (Football) x SDGs Exchange For Youths merupakan program anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Sekolah Sukan Malaysia Pahang.

Peserta yang terplih akan mengikuti program memfokuskan kepada pertukaran budaya, pendidikan dan sukan serta meningkatkan kefahaman tentang Sustainable Development Goals (SDGs). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram