
ANUGERAH Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2024/2025 mencipta sejarah tersendiri apabila pasangan adik-beradik, Muhammad Harry Danish Mohd Haizon dan Mohammad Haykal Danish Mohd Haizon tercalon bersama dalam kategori Pemain MFL Terbaik.
Kedua-duanya mewakili pasukan Selangor FC II dan akan dicabar pemain berbakat dari Johor Darul Ta'zim (JDT) II iaitu Gabriel Nistelrooy Tamin bagi merebut gelaran itu.
Muhammad Harry Danish, 21, atau lebih mesra disapa Harry menyifatkan pencalonan tersebut sebagai satu kejutan manis dan satu penghargaan besar buat dirinya serta adiknya, Haykal.
BACA LAGI: Haziq Nadzli bangga tercalon ABK, anggap pengiktirafan 9 tahun jadi penjaga gol
BACA LAGI: Tak julang trofi, ada 3 sebab Aidil Sharin lebih layak raih ABK berbanding Kino, Bidoglio
“Saya sangat bersyukur dan tidak sangka dapat tercalon bersama adik sendiri dalam kategori ini,” katanya.
Perasaan yang sama dikongsi Haykal, 20, yang teruja apabila berada dalam senarai tiga calon terakhir kerana baginya bukan mudah memandangkan pemain lain turut menunjukkan prestasi cemerlang musim ini.
Dalam kempen Piala MFL 2024, Harry tampil dalam 22 perlawanan dan berjaya menjaringkan lima gol. Manakala, Hayqal pula membuat 20 penampilan dan mencatat tujuh gol sepanjang musim ini.
Lebih membanggakan, Haykal juga pernah dipanggil menyertai skuad negara untuk Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024, satu pengiktirafan terhadap kebolehannya di peringkat lebih tinggi.
Mengulas mengenai pencabar mereka, Gabriel Nistelrooy dari JDT II, kedua-dua beradik ini tidak lokek untuk menghamburkan pujian.
"Gabriel sering kali menjaringkan gol dan namanya memang tidak asing lagi. Tapi ini satu cabaran yang baik untuk kami," kata Harry.
Pencalonan itu jelas menjadi suntikan semangat buat kedua-duanya, yang merupakan produk Akademi Mokhtar Dahari (AMD). Haykal juga pernah mencipta nama apabila membantu skuad bawah 19 tahun negara menjuarai Piala AFF B-19 pada tahun 2022.
Untuk info, Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2024/2025 dijadualkan berlangsung pada 23 April 2025 (Rabu) dan akan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Arena. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram