[VIDEO] Akui kecewa dikeluarkan Bojan Hodak, Saddil mohon maaf lepas baling botol, tumbuk cermin bangku simpanan


  • Podium
  • Rabu, 29 Okt 2025

Tangkap layar menunjukkan Saddil dilihat membaling botol selepas dikeluarkan oleh Bojan pada minit ke-31.

BEKAS pemain sayap Sabah FC, Saddil Ramdani menjadi tumpuan selepas menerima kritikan hebat daripada penyokong kelab susulan tindakannya yang dianggap tidak profesional ketika perlawanan Liga 1 Indonesia menentang Persis Solo pada Isnin.

Insiden itu tular di media sosial apabila Saddil yang kini beraksi bersama Persib Bandung dilihat melepaskan rasa tidak puas hati selepas dikeluarkan oleh pengendali kelab, Bojan Hodak pada minit ke-31 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Gelora Bandung Lautan Api, Indonesia.

Menerusi rakaman tersebut, pemain kebangsaan Indonesia itu bertindak membaling botol mineral dan menumbuk cermin di kawasan bangku simpanan sebaik digantikan.

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Kita main sepasukan’, calon naturalisasi HM bakar semangat sebelum ikat Selangor di Derbi Lembah Klang

BACA LAGI: [VIDEO] Sampai didukung keluar stadium, Selangor FC sahkan Sharul Nazeem cedera ACL

Difahamkan, keputusan Bojan menggantikan Saddil dibuat selepas pemain tengah, Luciano Guaycochea dilayangkan kad merah pada minit ke-28.

Bagi menampung kekosongan di bahagian tengah, Bojan mengambil langkah taktikal dengan mengeluarkan Saddil dan memasukkan Adam Alis bagi mengukuhkan semula jentera tengah pasukan.

Namun, keputusan itu dilihat tidak disenangi Saddil yang gagal mengawal emosinya, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi negatif daripada penyokong.

Menyedari kesilapan yang dilakukan, Saddil tampil memohon maaf secara terbuka menerusi hantaran di laman Instagram miliknya, @saddilramdanii.

“Salam semua, terima kasih atas kritikan dan saranan yang diberikan mengenai reaksi saya semalam yang benar-benar tidak profesional. Itu adalah reaksi spontan yang tidak sepatutnya berlaku.

“Saya kecewa kerana sentiasa ingin bermain dan memberikan yang terbaik untuk pasukan ini dalam setiap perlawanan. Namun, saya tetap menyokong apa sahaja keputusan jurulatih demi kebaikan pasukan.

“Saya mohon maaf sekiranya bertindak berlebihan. Semoga pengalaman ini menjadi pengajaran dan membantu saya menjadi lebih matang pada masa akan datang,” katanya.

Dalam perlawanan tersebut, Persib Bandung tetap berjaya mencatat kemenangan 2-0 ke atas Persis Solo hasil jaringan Guaycochea dan Uilliam Barros Pereira masing-masing pada minit ke-12 dan m-48.

Kemenangan itu memastikan skuad bimbingan Bojan Hodak terus kekal dalam kelompok lima teratas saingan Liga 1 Indonesia musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram