Rekod 2024/25 boleh berulang , MBPJ jadi saksi Selangor buat Sang Penyu menangis


  • Podium
  • Selasa, 26 Ogos 2025

Sejarah membuktikan skuad Gergasi Merah boleh menjadikan aksi berdepan Terengganu FC sebagai titik kebangkitan. — Facebook/Selangor FC

PERMULAAN kekok ditonjolkan skuad Gergasi Merah selepas pembukaan saingan Liga Super 2025/26 yang belum cukup meyakinkan dengan hanya tiga mata direkodkan daripada tiga perlawanan.

Kekalahan dalam aksi pembukaan kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 8 Ogos disusuli dengan kemenangan agak meyakinkan ketika menerima kunjungan DPMM FC di Stadium MBPJ, Selangor empat hari kemudian.

Selepas dua perlawanan itu, pasukan Lembah Klang itu berjaya menundukkan Malaysian University FT bagi saingan Piala FA sebelum mengikat juara bertahan Piala Shopee, Buriram United di Thailand.

BACA LAGI: Lima bintang untuk Terengganu di Brunei, jerit Aiman Sekaiichi di televisyen

BACA LAGI: Terengganu FC raih semangat daripada bas baharu, gandingan baharu

Skuad Gergasi Merah mengalami kekalahan dalam aksi Liga Super ketiga berdepan Negeri Sembilan FC. Facebook/Selangor FC

Rentak cuba dicipta Selangor FC itu bagaimanapun gagal diteruskan setelah mengalami kekalahan 1-2 di tangan Negeri Sembilan FC di tempat lawan pada Ahad.

Persembahan anak-anak buah Katsuhito Kinoshi boleh dikatakan cukup mengecewakan kerana setiap peluang terhidang gagal disempurnakan kesemua pemain dalam jentera serangan.

Kekalahan itu membuatkan rata-rata peminat mula mendesak agar perubahan dapat dilakukan terhadap pasukan sebelum memasuki fasa lebih rumit memandangkan skuad Gergasi Merah akan beraksi di pentas Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two.

Namun, harapan itu sememangnya sukar untuk direalisasikan kerana Selangor FC selepas ini akan berdepan Terengganu FC dalam pertembungan Liga Super yang berlangsung di laman sendiri pada Rabu.

Skuad Sang Penyu berada dalam rentak terbaik ketika ini selepas meraih dua kemenangan dan satu keputusan seri dalam liga yang meletakkan pasukan itu di tangga kedua Liga Super.

Skuad Sang Penyu berada dalam prestasi terbaik setakat ini. Facebook/Terengganu FC

Malah, jentera serangan mereka semakin sukar untuk dibendung apabila 10 gol dihasilkan sudah cukup untuk menceritakan kualiti anak-anak buah Badrul Afzan Razali.

Prestasi kelab Pantai Timur itu sudah tentu menyulitkan usaha Selangor FC untuk menjadikan perlawanan akan datang berkenaan sebagai medan kebangkitan bagi musim 2025/26.

Bagaimanapun, rekod terdahulu menunjukkan skuad Gergasi Merah boleh menjadikan aksi menentang Terengganu FC sebagai titik perubahan seperti mana ditonjolkan musim lalu.

Ini selepas kedua-dua pasukan itu ditakdirkan bertemu di pentas separuh akhir Piala FA dengan masing-masing meletakkan cita-cita tinggu untuk memastikan kemaraan.

Selangor FC pada awalnya tewas kepada skuad Sang Penyu di tempat lawan. Facebook/Terengganu FC

Tetapi, dalam pertembungan pertama yang berlangsung di Terengganu, skuad Sang Penyu meraih kelebihan setelah mencatatkan kemenangan 3-2 di hadapan lebih 30,000 penonton.

Kekalahan itu membuatkan rata-rata peminat beranggapan peluang Selangor FC untuk mara semakin tipis kerana masing-masing yakin taktikal bertahan bakal diterapkan dalam aksi kedua.

Namun, ia tidak dijadikan alasan apabila skuad Gergasi Merah berjaya meraih kelebihan selepas kapten pasukan, Safuwan Baharudin menjaringkan dua gol seawal minit keenam permainan.

Meskipun terdapat usaha Terengganu FC mengikat kedudukan menerusi jaringan Ismahil Akinade, semangat juang ditonjolkan tuan rumah dan ribuan penyokong menghangatkan malam di Stadium MBPJ.

Hatrik Safuwan menghadiahkan tiket automatik skuad Gergasi Merah ke pentas akhir Piala FA. Facebook/Selangor FC

Hasilnya, skuad Gergasi Merah berjaya kembali meraih kelebihan selepas Safuwan mencatatkan hatrik pertama dalam kariernya menerusi gol pada minit ke-54 permainan.

Perlawanan epik itu ditamatkan dengan gol lewat daripada Reziq Bani Hani untuk memastikan Selangor FC melangkah ke pentas akhir Piala FA yang juga mempunyai kisah tersendiri.

Tetapi, sekiranya fokus diberikan kepada pertembungan dengan Terengganu FC di laman sendiri, sejarah menunjukkan perlawanan terbabit boleh menjadi sesuatu yang istimewa buat pasukan.

Semangat juang yang sama dan kesungguhan lebih baik masih perlu ditonjolkan sambil mengharapkan perlawanan keempat Liga Super 2025/26 itu mengembalikan keyakinan buat skuad Gergasi Merah yang sudah terlalu lama lena diulit mimpi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram