Selain seru Safuwan, Selangor boleh pancing bek TFC-Sabah ganti Afro


  • Podium
  • Khamis, 30 Okt 2025

Hasil daripada ujian MRI mengesahkan Sharul mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament dan meniskus. — Facebook/SelangorFC

KELAB Selangor FC mengesahkan pertahanan mereka, Sharul Nazeem mengalami kecederaan serius pada lutut kiri semasa aksi Liga Super seri 0-0 menentang Kuala Lumpur (KL) City FC di di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Ahad.

Hasil ujian MRI mendapati Sharul mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) serta meniskus dan bakal menjalani pembedahan selepas tempoh pra-pemulihan selama dua minggu bagi mengurangkan bengkak serta meningkatkan pergerakan kaki.

"Seluruh warga Gergasi Merah, rakan sepasukan dan penyokong sentiasa berada di belakang Afro. Terus kuat dan positif sepanjang tempoh pemulihan ini. Kami yakin Afro akan kembali lebih kuat," kata Selangor FC.

BACA LAGI: [VIDEO] Sampai didukung keluar stadium, Selangor FC sahkan Sharul Nazeem cedera ACL

BACA LAGI: [VIDEO] Macam deja vu, JDT sekali lagi ulangi sejarah 'perfect 10' lepas benam DPMM

Terdahulu, tular di media sosial rakaman menunjukkan Sharul didukung keluar dari padang sebelum dibawa menaiki ambulans, sekali gus mengesahkan kecederaan yang dialaminya.

Ketiadaan Afro yang menjadi tunjang utama di jantung pertahanan sejak beberapa musim lalu nyata memberi kesan besar kepada skuad Gergasi Merah, namun kelab masih mempunyai beberapa pilihan untuk mengisi kekosongan itu. 

Sama ada membawa pemain semasa yang kini dipinjamkan ke pasukan lain atau mencari bek tengah baharu dari kelab boleh menjadi alternatif buat skuad Lembah Klang tersebut. 

1) Safuwan Baharudin

Safuwan dipinjamkan ke Lion City pada awal musim ini. — Facebook/LCS

Bekas kapten Selangor FC, Safuwan Baharudin yang kini beraksi bersama Lion City Sailors secara pinjaman dilihat sebagai pilihan paling ideal untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Sharul di posisi pertahanan tengah skuad Gergasi Merah.

Jika ditelusuri perpindahan Safuwan ke kelab Singapura itu sebelum ini, pemain berusia 34 tahun tersebut dikatakan berhijrah susulan pertelingkahan dengan bekas pengendali, Katsuhito Kinoshi. 

Namun, dengan kehadiran jurulatih sementara iaitu Christophe Gamel, tiada halangan untuk pemain kebangsaan Singapura itu kembali memperkuatkan semula Selangor dalam masa terdekat.

Kehadiran semula Safuwan juga dianggap langkah bijak kerana dia tidak memerlukan masa panjang untuk menyesuaikan diri, memandangkan majoriti pemain Selangor ketika ini merupakan rakan sepasukannya sebelum ini.

Berdasarkan statistik semasa bersama Lion City Sailors, Safuwan telah membuat enam penampilan termasuk dua aksi dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2), sekali gus membuktikan tahap kecergasan dan prestasinya masih berada di tahap terbaik.

2) Dominic Tan

Dominic sudah merekodkan 102 penampilan bersama The Rhinos. — Facebook/SabahFC

Keadaan Sabah FC yang kini tidak berada pada prestasi terbaik berpotensi membuka ruang untuk pertahanan berpengalaman Liga Malaysia, Dominic Tan menyertai Selangor FC pada jendela perpindahan kedua musim ini.

Dominic yang bersama The Rhinos sejak musim 2021, dilihat sudah bersedia mencari haluan baharu  terutamanya jika pemain kebangsaan itu mahu beraksi di peringkat lebih tinggi khususnya dalam saingan Asia. 

Kali terakhir pemain berusia 28 tahun itu beraksi di kejohanan peringkat Asia adalah ketika Sabah FC tampil dalam Piala AFC 2024, namun perjalanan mereka terhenti di peringkat akhir Zon ASEAN. 

Peluang untuk merasai semula suasana persaingan Asia kini terbuka luas sekiranya Dominic menyertai Selangor, yang sedang bersaing dalam kejohanan ACL2 dan Kejuaraan Kelab ASEAN 2025/2026.

Kehadiran Dominic juga diyakini akan memperkukuh benteng pertahanan Selangor, memandangkan kualitinya dalam membaca permainan, memintas hantaran lawan dan mengawal ruang di hadapan gawang sudah terbukti di pentas Liga M dan antarabangsa.

3) Safwan Mazlan

Safwan antara bek tengah muda yang menyinar dalam saingan Liga M. — Facebook/TFC

Jika Christophe Gamel mahu menerapkan DNA pemain muda dalam sistem permainannya, nama Safwan Mazlan dari Terengganu wajar dimasukkan dalam senarai calon pengganti Sharul.

Safwan mula mencuri perhatian penyokong bola sepak tempatan sejak melakukan debut bersama Sang Penyu pada musim 2022, dan sejak itu pemain berusia 23 tahun itu kekal menjadi antara pilihan utama jurulatih Terengganu.

Berdasarkan rekod, pemain setinggi 1.81 meter berkenaan telah membuat 74 penampilan bersama Terengganu, selain menyumbang tiga gol dan tiga bantuan jaringan.

Meskipun masih muda, bek tengah kebangsaan itu menunjukkan ketenangan luar biasa di benteng pertahanan dengan gaya permainan matang seolah-olah sudah memiliki pengalaman lebih sedekad dalam bola sepak profesional.

Kualiti dan potensi yang dimiliki Safwan mampu memberi nilai tambah besar kepada Selangor terutamanya jika Gamel mahu memperkukuh teras skuad muda yang kini turut dibarisi Harith Haiqal, Richmond Ankrah dan Mohammad Abualnadi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram