PELUANG Kelantan The Real Warriors (TRW) dan Sabah FC untuk ke separuh akhir Piala FA masih terbuka menjelang perlawanan kedua suku akhir pertandingan yang bakal berlangsung di Stadium Likas, Sabah pada Rabu.
Pertembungan pertama di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan sebelum ini berakhir dengan kemenangan tipis 2-1 berpihak kepada skuad Sang Badak hasil jaringan Jafri Chew dan Ajdin Mujagic sementara Abdul Sesay meledak buat pasukan tuan rumah.
Ini membuktikan kedua-dua kelab mempunyai peluang cerah dengan skuad Kijang Emas memerlukan sekurang-kurangnya satu gol untuk membawa aksi ke penentuan sepakan penalti sementara Sabah FC hanya perlu mengekalkan keselesaan.
BACA LAGI: Victor Andrag serap semangat Azraai Khor, pupuk 4 prospek 'The Young Kedah Warriors'
BACA LAGI: Marlon Alex James antara 3 pencetak gol berbisa di bawah telunjuk Allahyarham Azraai Khor

Kekalahan Kelantan TRW kepada skuad Sang Badak menyukarkan hasrat untuk ke separuh akhir Piala FA 2025. — Facebook/Sabah FC
Momentum jelas berpihak ke arah Kelantan TRW yang baru-baru ini merekdokan kemenangan pertama di bawah kendalian Akmal Rizal Ahmad Rakhli ketika menang menundukkan Melaka FC menerusi keputusan 2-1.
Pasukan Pantai Timur tersebut juga kelihatan berazam bagi kempen kali ini kerana penyokong di Kelantan sudah lama tidak menyaksikan kelab dari negeri itu melangkah ke pusingan separuh akhir.
Ia merupakan sebuah situasi merisaukan kerana skuad The Red Warriors (TRW) pernah diangkat sebagai pasukan terbaik negara satu ketika dahulu dengan kemaraan lebih jauh dalam Piala FA merupakan satu kebiasaan.
Namun, disebabkan kemerosotan kira-kira 10 tahun ke belakang, tiada mana-mana kelab berpangkalan di negeri Pantai Timur tersebut mampu berbuat demikian.
Malah, sekiranya sejarah lalu disingkap, peminat boleh menyedari bahawa kali terakhir hal itu berlaku adalah pada 2015 semasa skuad The Red Warriors (TRW) berada di bawah kendalian Allahyarham Azraai Khor Abdullah.

Skuad TRW merupakan kelab Kelantan terakhir yang mara ke suku akhir Piala FA selepas melakukkannya pada 2015.
Di pusingan suku akhir, Kelantan bertemu Sime Darby FC yang bukanlah lawan mudah memandangkan mereka dibarisi nama-nama besar seperti Allahyarham Suffian Abdul Rahman, Reinaldo Costa dan Abdul Halim Zainal.
Cabaran besar turut diberikan kelab terbabit ketika pertemuan pertama di Stadium Selayang, Selangor setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 untuk menghangatkan lagi suku akhir kedua.
Bagaimanapun, semasa aksi timbal balik, Kelantan yang beraksi di gelanggang keramat memanfaatkan penuh kelebihan di laman sendiri setelah meraih kemenangan 3-0.
Pasukan tuan rumah ketika itu mencatatkan kelebihan pada minit ke-40 menerusi sepakan penalti Badhri Radzi untuk meletakkan skuad TRW selangkah ke separuh akhir Piala FA.
Tidak terhenti di situ, pasukan tuan rumah sekali lagi menambah derita buat Sime Darby apabila menambah dua lagi gol pada babak kedua menerusi jaringan Austin Amutu dan Erwin Carillo.

Azraai Khor (kiri) merupakan nadi utama Kelantan yang melangkah ke pentas akhir Piala FA 2015.
Kemenangan tiga gol tanpa balas itu menyaksikan Kelantan mara menerusi agregat 4-1 dengan Azraai memuji impak dibawa kesemua import yang beraksi pada malam berkenaan.
Momentum diraih skuad TRW di peringkat suku akhir dibawa ke pusingan seterusnya selepas mereka turut menyingkirkan Pahang FA pada pusingan seterusnya sebelum melangkah ke pentas final.
Namun, keseronokan Kelantan dan Azraai Khor terhenti di situ apabila perlawanan akhir menyaksikan pasukan Pantai Timur berkenaan dikecewakan Lions XII di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Aura pernah ditonjolkan skuad TRW sebagai wakil bola sepak Kelantan perlu dicontohi anak-anak buah Akmal Rizal di Stadium Likas untuk menamatkan penantian ke separuh akhir.
Malah, sekiranya mampu berbuat demikian, tidak mustahil skuad Kijang Emas mampu mencipta kejutan dengan menempah slot ke pentas akhir Piala FA buat kali pertama sejak ditubuhkan. Sama-sama kita saksikan! — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
