Gagal cipta kelebihan hadapi Sabah, legenda Kelantan seru Kijang Emas bangkit segera


  • Podium
  • Sabtu, 18 Okt 2025

Skuad Kijang Emas kelihatan sugul susulan kekalahan di tangan skuad Sang Badak. — Facebook/Sabah FC

KELANTAN The Real Warriors (TRW) terlepas peluang untuk mendapatkan kelebihan dalam suku akhir Piala FA selepas tewas dalam aksi pertama berdepan Sabah FC pada Jumaat.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan, skuad Sang Badak bermula lebih garang selepas Jafri Firdaus Chew membuka jaringan pada minit ke-13.

Kelebihan itu bagaimanapun tidak berkekalan setelah penyerang tuan rumah, Abdul Sesay menjaringkan gol penyamaan empat minit berselang untuk menghangatkan pertemuan terbabit.

BACA LAGI: 'Game comel doh', legenda Kelantan seru fans penuhkan stadium demi gaji pemain 

BACA LAGI: [VIDEO] 'Kaki tak dimamah usia', skil Piya masih pikat hati penyokong Kelantan

Mujagic menghancurkan hati peminat tuan rumah menerusi gol kemenangan pada babak pertama permainan. Facebook/Sabah FC

Asakan demi asakan Kelantan TRW gagal membuahkan sebarang hasil sebelum skuad Sang Badak memanfaatkan kealpaan benteng pertahanan pasukan Pantai Timur itu menerusi gol Ajdin Mujagic.

Kedudukan 2-1 berpihak kepada Sabah FC kekal hingga wisel penamat ditiupkan, sekali gus memastikan kelebihan berpihak kepada wakil Borneo berkenaan bagi aksi timbal balik.

Kekalahan itu tidak mematahkan semangat penyokong Kelantan TRW yang memasang impian supaya pasukan bimbingan Akmal Rizal Ahmad Rakhli bangkit segera.

Sokongan terbabit turut dilaungkan legenda bola sepak di negeri itu, Badhri Radzi yang mahu menyaksikan skuad Kijang Emas kembali ke landasan susulan keputusan mengecewakan tersebut.

Dalam satu hantaran di laman Facebook Captain Piya, dia menyampaikan mesej ringkas 'Moga bangkit segera' berserta keputusan aksi pertama suku akhir Piala FA itu.

Laungan dibuat bekas pemain kebangsaan itu diharapkan mampu mengembalikan Kelantan TRW ke landasan berikutan empat kekalahan berturut-turut, termasuk ketika berdepan Terengganu FC dalam Derby Pantai Timur pada 3 Oktober lalu.

Prestasi membimbangkan dari pasukan tersebut menyaksikan pihak pengurusan terpaksa membuat perubahan terhadap barisan kejurulatihan dengan E Elavarasan terpaksa diketepikan.

Kehadiran Akmal Rizal nampaknya belum membuahkan hasil, namun masih terlalu awal untuk sebarang penilaian dibuat memandangkan dia hanya diumumkan pada Jumaat lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram