
KEKALAHAN pada aksi separuh akhir Piala Cabaran merampas impian Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk mendapatkan trofi kejohanan berkenaan selepas tewas kepada sepakan penalti 4-5 kepada PDRM FC.
Aksi penuh elemen kejutan itu menyaksikan perlawanan diheret hingga ke penentuan sepakan penalti apabila masing-masing terikat dengan jaringan 1-1 selepas berhempas pula pada 90 minit permainan dan 30 minit masa tambahan.
Kegagalan berkenaan menambah muka surat baharu dalam novel sedih Sang Kenari musim ini selepas mereka diuji dengan pelbagai dugaan seperti masalah kewangan dan kehilangan pemain berpengalaman serta jurulatih.
BACA LAGI: 'The Next Supermokh' sentuhan terakhir Allahyarham Azraai Khor
BACA LAGI: [VIDEO] DNA Kedah sudah kembali, fans Sang Kenari puji persembahan bakat muda
Langit yang mendung tidak akan selamanya kelam. Hujan yang turun tidak akan berlarutan selamanya di bumi Kedah kerana masih ada episod manis lahir dari kesulitan yang berlaku di kem Sang Kenari.
Paling kelihatan apabila Victor Andrag selaku pengendali interim berhasil membentuk empat pemain muda yang boleh diharapkan pada musim depan dan tampak sudah mampu bersaing dengan bintang Liga Super lain.
Seperti yang dikongsikan oleh laman penyokong KDA FC, Arena Hijau Kuning menamakan Danial Tarmizi, Akmal Hakim Rosli, Aiman Danial, Aiman Afif sebagai pemain muda semakin menonjol di zaman kejatuhan Kedah.
Selepas Nafuzi Zain memilih cabaran baharu bersama skuad B-23 kebangsaan, Victor dilantik sebagai pengendali interim. — Facebook/ArenaHijauKuning
"The Young Kedah Warriors nama-nama seperti Danial Tarmizi, Akmal Hakim Rosli, Aiman Danial, Aiman Afif dan nama-nama skuad Bawah 23 tahun (B-23) lain bakal dikenali ramai sedikit masa lagi.
"Mereka dah mampu bersaing dengan pasukan dan pemain top liga super. Mereka dah berani hasil didikan coach Boy (Khairul) dan coach Victor. Semoga semangat mereka akan terus memperjuangkan lencana KDA ke pentas lebih tinggi nanti..all the best young ones!!
"Pagi tadi (Ahad) mereka bergerak ke Temerloh pula untuk saingan B-23, semoga pengalaman dan kematangan diperolehi dipergunakan sebaiknya untuk menentang Pahang B-23 pada Isnin petang. Berjuanglah sejiwa murni," kata laman berkenaan.
Sebahagian pemain yang diturunkan pada aksi Piala MFL itu menyaksikan skuad muda Sang Kenari mengikat Sri Pahang FC dengan keputusan 0-0 di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Temerloh, Pahang pada Isnin.
Dalam pada itu, keberanian Victor dalam memberi kepercayaan kepada pemain muda membuatkan penyokong teringat akan semangat legenda jurulatih pasukan Sang Kenari, Mohd Azraai Khor Abdullah.
Nama Azraai Khor pasti akan kekal terpahat dalam sejarah Kedah Darul Aman (KDA) FC apabila tempohnya bersama Allahyarham mencipta sejarah sebagai jurulatih pertama membawa pasukan tempatan meraih kejuaraan 'double treble' bagi musim 2006/2007 dan 2007/2008.
"Victor bawa semangat Allahyarham Azrai Khor untuk naikkan bakat-bakat muda. Idola jurulatih terbaik," kata penyokong Kedah, Mohd Hafiz Fidz.
"Perkembangan baik untuk pasukan Kedah. Corak laju dan pantas. Corak short passing slow tidak sesuai," tambah penyokong Sang Kenari, MD Rozi.
Khidmat mereka selepas ini akan digunakan untuk memperbaiki kedudukan mereka dalam Liga Super dengan Negeri Sembilan FC menjadi cabaran pertama pada 26 Februari nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram