Admin PDRM beri 'hint' seperti 6 bulan tak dapat gaji, Kelantan dicucuk rekrut pemain Sang Saka Biru


  • Podium
  • Jumaat, 24 Okt 2025

Foto yang dimuat naik sebelum ini juga menggunakan warna hitam putih dilihat menggambarkan mood suram kelab. — Facebook/pdrmfc

SKUAD PDRM FC menjadi pasukan pertama musim 2024/2025 dikaitkan dengan masalah kewangan apabila difahamkan kem Sang Saka Biru sedang mengalami kemelut tunggakan gaji. 

Hantaran terbaharu dari admin skuad Sang Saka Biru yang menulis 'enam hmmmm' menimbulkan spekulasi bahawa kelab Lembah Klang berkenaan berkemungkimnan mengalami tunggakan gaji mencecah enam bulan.

Ini bukan kali pertama kakitangan PDRM FC memberi petunjuk mengenai kemelut yang dihadapi susulan sebelum ini kelab itu pernah memuat naik gif dompet kosong yang seolah-olah memberi gambaran isu kewangan mereka. 

BACA LAGI: Gelora pengurusan PDRM angkara isu gaji berterusan, poster berdepan JDT dihasilkan ala kadar

BACA LAGI: Tiket tak lagi laku, NSFC perlu pantas kekalkan kemeriahan di Paroi

Sejak hantaran di laman X berkenaan, penyokong mula mencetuskan spekulasi bahawa kekalahan di peringkat Piala FA dan hanya melakar tiga seri dan satu kekalahan dalam aksi Liga Super disebabkan isu luar padang.

Selain itu, poster perlawanan ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 5 Oktober lalu di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selangor mencuri perhatian ramai dengan rekaannya yang ringkas dan ‘ala-kadar’.

Berbeza dengan poster biasa yang biasanya penuh warna dan elemen promosi, poster terkini yang dikongsi di laman rasmi Facebook milik PDRM FC itu hanya menggunakan warna hitam dan putih sahaja tanpa sebarang logo kelab, gambar pemain atau grafik penyokong.

Rekaan minimalis berkenaan dilihat seolah-olah mencerminkan suasana suram dan masalah dalaman yang sedang dialami oleh pasukan berpangkalan di Lembah Klang tersebut. 

Sekiranya benar skuad Sang Saka Biru menghadapi masalah kewangan, penyokong pasukan lain seperti Kelantan The Real Warriors (TRW) mula berharap agar pihak pengurusan kelab mereka mengambil inisiatif untuk menandatangani pemain berkualiti PDRM.

"Kelantan dan boleh pancing pemain-pemain PDRM yang bagus-bagus," kata penyokong Kelantan TRW, Nick YNWA.

"Banyak pemain berkualiti mereka boleh ambil. Jangan sia-siakan peluang," komen penyokong bola sepak tanah air, Muhamad Shahmi.

Dalam pada itu, Majoriti sudah menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif kelab, Asistan Superintenden Mohamad Hafiz Zainal Abidin berhubung perkembangan terbaru kes tersebut namun belum ada sebarang jawapan diperoleh. 

Poster perlawanan skuad The Cops menjelang aksi getir menentang JDT. — Facebook/pdrmfc

Sebelum ini, Majoriti melaporkan bahawa Mohamad Hafiz Zainal menafikan pasukan sedang berdepan masalah kewangan, sambil menegaskan tiada tunggakan gaji kepada pemain mahupun pegawai.

"Setakat ini, kita tidak berdepan sebarang masalah kewangan. Memang ada perkara di luar padang, lebih kepada isu pentadbiran.

"Tetapi kami sedang bekerja keras untuk memastikan pasukan terus berada di landasan yang betul. InsyaALLAH jawapan rasmi akan diberikan tidak lama lagi," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram