
NAMPAKNYA skuad Kelantan The Real Warriors (Kelantan TRW) melakukan perubahan besar dalam bola sepak mereka apabila secara rasminya merehatkan E Elavarasan serta-merta.
Memetik laporan media, Elavarasan diberitahu untuk meninggalkan kelab Pantai Timur berkenaan selepas perlawanan Liga Super menentang Terengganu pada 3 Oktober, selepas tewas 1-4.
Untuk info, bekas pengendali Harimau Malaya Bawah 23 tahun (B-23) itu mengambil alih Kelantan pada Jun lalu dan ditugaskan untuk memperbaiki nasib pasukan berkenaan.
BACA LAGI: Selangor boleh bersaing rebut trofi, masih perlu waspada Kuching City-Terengganu — Akmal Rizal
BACA LAGI: Idea 'fresh', sukses kendali kelab kerdil antara kriteria terdesak diperlukan KRW
Susulan tindakan itu, barisan pengurusan Kelantan TRW difahamkan sudah melantik bekas pengendali Penang FC iaitu Akmal Rizal Ahmad Rakhli sebagai pengganti Elavarasan.
Bumi Kelantan bukan asing buat Akmal Rizal apabila dia pernah menyarung jersi Kelantan FA pada tahun 2010, dan kini hadir semula dengan pengalaman kejurulatihan yang cukup luas serta kelayakan tertinggi dalam bidang ini.
Tidak dinafikan pengendali berusia 44 tahun itu pernah direhatkan Penang FC pada musim lepas dek masalah penurunan prestasi, namun pengalaman luas di peringkat tempatan dipercayai mampu membawa skuad Kijang Emas ke tahap lebih tinggi.
Elavarasan hanya berkhidmat kira-kira lima bulan untuk Kelantan TRW. — Facebook/KelantanTRW
Pelantikan bekas pengendali skuad Kedah bagi saingan Piala Emas Raja-Raja 2019 itu dilihat sebagai langkah strategik dan segar oleh pengurusan TRW yang ingin keluar daripada bayangan isu tidak konsisten.
Dikenali dengan sentuhan taktikal moden dan cara fikir kejurulatihan yang progresif, Akmal Rizal bukan sekadar hadir dengan nama besar, tetapi membawa pendekatan tersendiri dalam membentuk DNA pasukannya.
Ketika bersama Penang FC, kelibatnya mula mencuri perhatian apabila dia berani mengetengahkan corak permainan berasaskan penguasaan bola dan serangan bertali arus ke arah pihak lawan.
Lebih daripada itu, Akmal Rizal juga menumpukan kepada pembangunan pemain muda apabila dilihat kerap memberi peluang untuk 'ubi muda' beraksi dan disenaraikan dalam kesebelasan utama.
Antara pemain muda yang menyinar di bawah bimbingan Akmal Rizal adalah Alif Ikmalrizal di posisi penyerang, Haziq Kutty sebagai pemain tengah dan bek kiri menyerlah pada musim lepas iaitu Adib Ra'op.
Walaupun pernah melalui fasa sukar ketika bersama Penang FC musim lalu, keupayaan Akmal Rizal untuk membaca permainan dan melakukan pembaikan taktikal tidak wajar diketepikan.
Sebagai bekas pemain profesional yang pernah beraksi di luar negara, termasuk Perancis dan Indonesia, dia membawa pemahaman menyeluruh tentang standard profesionalisme dan pengurusan skuad moden.
Dengan idea baharu, pengalaman luas dan pendekatan progresif yang sudah terbukti ketika bersama Penang FC, Akmal Rizal berpotensi menjadi faktor kebangkitan semula skuad Kijang Emas.
Adib yang cemerlang bersama Penang musim lepas membuatkan dia berhasil menembusi skuad kebangsaan. — Facebook/PenangFC
Namun, kejayaan sebenar akan bergantung pada sokongan penuh pengurusan, pemain serta masa yang diberi untuk jurulatih itu membentuk identiti permainan tersendiri buat TRW.
Sebagai rekod, Akmal Rizal mula menyertai barisan kejurulatihan Penang FC pada 2020 dan menjadi ketua jurulatih bagi skuad Piala Presiden musim 2022 dan Penang FC II yang beraksi dalam kancah Piala MFL musim 2023
Kemudiannya, pemegang lesen kejurulatihan Diploma Pro AFC diberikan peranan untuk memangku jawatan ketua jurulatih skuad utama pada penghujung musim 2023 sebelum dilantik sebagai ketua jurulatih bagi mengharungi musim 2024-2025.
Untuk info, ujian pertama Akmal Rizal ialah bersama Kelantan TRW pada aksi suku akhir pertama Piala FA menentang Sabah FC di Stadium Sultan Muhammad IV pada Jumaat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram