[VIDEO] Bekas 'coach' bola keranjang negara digantung, cederakan pengadil ketika berdepan pasukan Johor


  • Podium
  • Selasa, 28 Okt 2025

Insiden melibatkan kedua-dua pihak itu mencetuskan kemarahan dalam kalangan peminat sukan bola keranjang.

LIGA Bola Keranjang Malaysia (MBL) mengumumkan penggantungan sementara ke atas jurulatih Parkcity Heat Basketball, Goh Cheng Huat yang menyebabkan kecederaan pengadil ketika aksi Liga Pembangunan Bawah 23 Tahun (B-23) di Stadium MABA, Kuala Lumpur (KL) pada Jumaat lalu.

Dalam satu rakaman perlawanan, pengendali pasukan tersebut kelihatan sedang memberi arahan kepada anak-anak buahnya selepas pasukannya ketinggalan memasuki suku keempat aksi menentang Johor Southern Tigers.

Bagaimanapun, sikapnya yang terlalu vokal di tepi gelanggang membawa padah setelah papan keratan dipegangnya mengenai pengadil wanita yang menjaga garisan tepi.

BACA LAGI: [VIDEO] Setinggi 2.26 meter, bekas bintang NBA kini pemain tertinggi bola sepak dunia

BACA LAGI: Bukan setakat pemain lokal, Liga Super Bola Keranjang buka peluang bintang luar negara cuba nasib

Lebih mengecewakan lagi, Cheng Huat yang merupakan bekas jurulatih negara menyedari situasi tersebut tidak langsung memohon maaf terhadap pegawai perlawanan yang pada awalnya membiarkan aksi berlangsung.

Namun, selepas menyedari luka dialami di dahi, pengadil berkenaan bertindak menghentikan perlawanan dengan pemain serta pengadil utama tergamam dengan situasi hangat di tepi gelanggang.

Susulan kejadian terbabit, pihak MBL kemudian bertindak mengenakan hukuman penggantungan terhadap Cheng Huat dan kini sedang mengumpul maklumat lanjut mengenainya.

"MBL percaya dengan prinsip keterbukaan serta keadilan dan akan mengambil tindakan tegas terhadap apa jua tindakan yang mengganggu aturan perlawanan dan akan terus melindungi keselamatan semua pihak," tulisnya pada Sabtu.

Pengadil tersebut turut berkongsi keadaannya susulan insiden terbabit menerusi hantaan di akaun Instagram Mandy Ngieng Chiro dengan menunjukkan luka dialaminya.

Screenshot

Kecederaan dialami pengadil wanita tersebut selepas terkena hayunan Cheng Huat dalam perlawanan tersebut.

Meskipun sudah menerima rawatan dan diberikan jahitan, orang ramai masih mendesak agar Cheng Huat dikenakan tindakan lebih tegas kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

"Saya mahu Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh untuk memberikan perhatian lebih mendalam terhadap insiden sebegini dalam sukan. Apa yang anda rasa selepas meninggalkan parut di wajah wanita? Jika itu adalah anak perempuan awak, adakah anda mahu dia dilayani begitu?

"Jika awak sudah melukakan seseorang, tidakkah patut anda meminta maaf dengan baik? Saya juga meminta Parkcity Heat untuk membayar pampasan terhadap pengadil ini atas kos perubatan ditanggungnya," kata Coco Line.

Sekiranya tiada tindakan lebih tegas diambil, pasukan dalam Liga Pembangunan itu pasti akan berasa gusar akan tahap keselamatan setiap kali bertemu kelab terbabit.

Namun, penggantungan Cheng Huat diharapkan mampu meredakan keadaan memandangkan saingan masih berlangsung dengan setiap pasukan mahu memberikan aksi terbaik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram