Walaupun setakat liga DUN, ketatkan kawalan keselamatan elak penyokong bawa mercun ke stadium


  • Podium
  • Jumaat, 12 Sep 2025

Suasana kecoh dalam sebuah perlawanan bola sepak amatur di Terengganu.

BOLEH dikatakan, rakyat Malaysia ni memang suka tengok bola.

Jika ada perlawanan baik di peringkat tertinggi seperti Liga Super atau Harimau Malaya beraksi, pasti akan ramai yang datang ke stadium untuk memberikan sokongan.

Sudah pasti, aspek keselamatan menjadi keutamaan bagi memastikan acara yang melibatkan ramai orang terutamanya penyokong dijalankan dengan selamat.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Liga DUN je pun', pengadil jadi mangsa lemparan mercun penyokong di Terengganu

BACA LAGI: Piala Agong 2025: Terengganu mula langkah kanan, benam WP Kuala Lumpur di laman sendiri

Malangnya, perkara tersebut seolah-olah dipandang enteng semasa sebuah aksi bola sepak peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) diadakan di Terengganu.

Kecoh di media sosial apabila terdapat rakaman kekecohan penyokong semasa perlawanan itu diadakan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada Rabu.

Kekecohan tersebut tidak lain adalah daripada provokasi penyokong terhadap pemain pihak lawan, ia masih dianggap normal kerana itu sebahagian lumrah bola sepak.

Tetapi, apabila penyokong mula bertindak liar dengan mencampakkan mercun ke arah pengadil, jelas ia satu perkara yang tidak boleh diterima di mana-mana peringkat bola sepak.

Lebih mengecewakan, insiden itu turut menampakkan betapa longgarnya aspek keselamatan pada perlawanan tersebut sehinggakan bahan letupan seperti mercun berjaya dibawa masuk oleh penyokong ke dalam stadium.

Perlawanan tersebut tidak dihadiri oleh puluhan ribu penyokong, namun pihak keselamatan stadium masih gagal mengesan mercun yang dibawa masuk hingga ia hampir mencederakan pengadil perlawanan.

Malah dalam perlawanan itu, turut dikesan penyokong turut membawa masuk suar (flare) ke dalam stadium dan membakarnya sewaktu perlawanan.

Saya nampak pengkuatkuasaan keselamatan di stadium terhadap barangan larangan masih lagi lemah, baik semasa perlawanan berprestij tinggi atau rendah.

Perkara sebegini harus dipandang serius oleh mereka yang terlibat, kita tidak mahu ada yang mengalami perkara buruk semasa mereka menonton bola sepak.

Insiden di Terengganu itu harus dijadikan pengajaran boleh semua pihak untuk lebih berhemah di masa akan datang.

Tiada siapa yang ke stadium, patut pulang dengan potensi cedera atau lebih malang kehilangan nyawa kerana bola sepak. — Majoriti

Sobri Samad merupakan seorang peminat bola sepak di Terengganu

*Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti*

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram