[VIDEO] Sudah buat repot polis, 'rider' langgar lari murid depan SK Permatang Pauh diminta serah diri


  • Tular
  • Rabu, 01 Okt 2025

Murid tersebut dilanggar selepas dibantu pengawal keselamatan untuk melintas jalan.

TULAR sebuah kejadian pada Selasa memaparkan seorang murid dilanggar penunggang motosikal ketika sedang melintas jalan di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Insiden itu sempat dirakam kamera litar tertutup (CCTV) milik premis berdepan sekolah itu yang pada awalnya memaparkan dua orang murid mahu melintas dengan pengawal keselamatan berada di lokasi.

Bagaimanapun, secara tiba-tiba, sebuah motosikal ditunggang dengan laju melanggar salah seorang pelajar sehingga menyebabkannya terjatuh di bahu jalan.

BACA LAGI: Seronok Anwar jadi PM, warga emas belanja makan warga Permatang Pauh

BACA LAGI: Liga PMX 2023 kena kecam, kelab amatur minta ketua AMK jawab isu penyingkiran

Murid itu kemudian segera bangun dengan pengawal keselamatan sempat melihat sama ada terdapat kecederaan serius dialami di tubuhnya akibat pelanggaran terbabit.

Tetapi, penunggang berkenaan bertindak melarikan diri dari lokasi kemalangan tanpa memberi bantuan mahupun bertanyakan keadaan murid terbabit.

Insiden itu kemudian dikongsikan berkali-kali di pelbagai platform media sosial dengan orang ramai meminta agar penunggang itu segera tampil ke muka pengadilan.

"Wahai si penunggang motosikal, sila serahkan diri jumpa waris pelajar ini atau datang ke sekolah. Dah langgar anak orang, beredar macam itu sahaja. Laporan polis telah dibuat," tulis Penang Kini.

Mangsa dilanggar ketika sedang melintas jalan di hadapan sekolah tersebut.

Pengguna media sosial lain turut mengharapkan kes dapat diselesaikan segera sambil mengingatkan orang ramai agar tidak menunggang motosikal mahupun memandu dengan laju di kawasan sekolah.

"Dah tahu kawasan sekolah, nak laju juga tu. Inilah contoh pemandu yang pentingkan diri sendiri. Sudah langgar anak orang satu hal, tak mahu bertanggungjawab pula. Semoga cepat ditangkap dan semoga tiada kecederaan serius buat adik tu," kata Siti Salmiah.

"Sudah langgar, boleh pula dia melarikan diri begitu. Sepatutnya turun dan minta maaf atau apa sahaja, geram pula saya tengok. Di hadapan sekolah pun nak laju-laju, nak pergi mana?" kata Syahirah Ibrahim.

"Kawasan sekolah mana boleh laju... Kalau perlahan, pasti sempat brek tetapi ini disebabkan laju. Saya yang mat rempit pun tahu untuk perlahan di hadapan sekolah," kata Zam.

Setakat ini, pihak polis Permatang Pauh masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram