[VIDEO] Piala Emas Raja-Raja: Aksi Bomba-Perak dicemari insiden gaduh, dengarnya ada sampai patah tangan


  • Podium
  • Isnin, 13 Okt 2025

Tangkap layar momen pergaduhan antara Perak dan Kelab Bola Sepak Bomba dalam aksi Kumpulan B kejohanan PERR pada Ahad.

MINGGU pertama edisi ke-103 Piala Emas Raja-Raja (PERR) kali ini membuka tirai dengan perlawanan kontroversi apabila berlaku pergaduhan besar antara pasukan Perak dan Kelab Bola Sepak Bomba pada Ahad.

Dalam perlawanan yang berlangsung di padang Universiti Sains Malaysia (USM), George Town, Pulau Pinang berkenaan menyaksikan video tular pergaduhan di antara dua wakil Kumpulan B itu.

Berdasarkan video berdurasi 39 saat dimuat naik laman penyokong Perak TV, pergaduhan bermula dengan perkelahian beramai-ramai dengan ada adegan tumbuk-menumbuk dan tendang-menendang berlaku.

BACA LAGI: Hal baik aksi nostalgik di Kedah-Kelantan terima sambutan, tapi tiba masa cipta kenangan baru

BACA LAGI: Import tak boleh 'cari makan', Liga A1 rupanya platform penyerang lokal menyerlah, jadi topscorer AFL

Tidak cukup dengan itu, kelihatan juga aksi kejar-mengejar antara pemain dan beberapa individu lain turut melakukan perkara sama bagi menenangkan keadaan tegang tersebut. 

"Perlawanan Piala Emas Raja-Raja diantara Perak dan Bomba terpaksa dibatalkan ekoran pergaduhan yang berlaku di Padang USM, Pulau Pinang petang tadi (Ahad). Masih menunggu laporan dari pengadil tentang apa yang berlaku," kapsyen Perak TV. 

Lebih memburukkan keadaan, penyokong tegar The Bos Gaurus, Din Din mendakwa seorang pemain Perak mengalami kecederaan patah tangan susulan insiden berkenaan.

Walaupun belum ada sebarang maklumat lanjut mengenai kejadian itu, perkembangan dari Facebook Persatuan Bola Sepak Melayu Perak mengesahkan kemenangan 1-0 memihak kepada Bomba. 

Pergaduhan berkenaan hanya mencemarkan nama baik bola sepak tanah air lagi-lagi ini bukan pertama kali aksi sebegitu rupa berlaku di bawah kejohanan PERR berikutan dua tahun lepas ia juga melibatkan pasukan Perak. 

Pada Oktober 2023, berlaku pergaduhan di antara Perak FC dan Selangor FC di Stadium Mini, Jitra, Kedah yang menyaksikan pemain dan penyokong kedua-dua pasukan terlibat dalam pergaduhan. 

Dalam pada itu, kekalahan berkenaan menyaksikan Bomba yang meraih kemenangan dan mengumpul empat mata bersama pasukan ATM bagi Kumpulan B berhasil layak ke pusingan suku akhir. 

Untuk info, dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke suku akhir yang akan dilangsungkan secara timbal balik pada 18 dan 25 Oktober, diikuti separuh akhir pada 1 dan 8 November.

Perlawanan akhir dijadual berlangsung pada 15 November. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram