JOHOR Darul Ta’zim (JDT) bakal melayan kunjungan DPMM FC dalam aksi Liga Super 2025/26 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor pada Sabtu.
Perlawanan dijangka menarik memandangkan kedua-dua pasukan kini berada dalam prestasi yang baik.
Bermain di laman sendiri memberi kelebihan besar buat skuad Harimau Selatan untuk terus mengekalkan rentak kemenangan, namun DPMM yang baru mencatat kemenangan pertama menewaskan Melaka FC 1-0 pada 30 September lalu dijangka tampil dengan semangat tinggi untuk mencipta kejutan.
BACA LAGI: Saya yang syor 7 pemain warisan ke FAM — Tengku Muda Pahang
BACA LAGI: Fans Singapura kata lawan JDT rehatkan ramai pemain bintang, patut menang mudah

Pengendali JDT, Xisco Munoz.
Namun, kehebatan JDT jelas sukar ditandingi apabila pasukan itu baru sahaja menumpaskan wakil China, Chengdu Rongcheng dengan keputusan 2-0 dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE) baru-baru ini.
Kemenangan tersebut menjadi bukti keampuhan skuad kendalian Xisco Munoz yang kini semakin garang di pentas domestik dan Asia.
Memandangkan DPMM masih belum mencapai tahap permainan setaraf JDT, pertemuan kali ini dilihat peluang terbaik untuk Munoz memberi minit permainan kepada beberapa pemain yang jarang diturunkan musim ini.
Selain memberi ruang kepada pemain utama berehat, langkah tersebut juga penting bagi menilai prestasi skuad simpanan Harimau Selatan.
Oleh itu, berikut adalah tiga pemain yang wajar diberi peluang untuk tampil dalam kesebelasan utama menentang DPMM FC nanti.
1. Ibrahim Manusi
Sejak menyertai JDT, bekas pemain tengah Sri Pahang FC itu jarang diturunkan bersama skuad utama dan lebih kerap beraksi bersama JDT II.
Situasi itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penyokong yang berasakan bakatnya tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

Bekas jeneral tengah Sri Pahang FC, Ibrahim Manusi, setakat ini hanya beraksi selama 30 minit bersama JDT. — Facebook/JST
Dalam aksi Piala FA menentang UM Damansara sebelum ini, Ibrahim sempat membuat penampilan sulung namun diletakkan di posisi bek tengah bukan peranan asalnya sehingga menjadi punca kepada gol lawan.
Walaupun insiden itu mengecewakan, ramai percaya pemain berusia 24 tahun itu wajar diberi peluang kedua untuk membuktikan kemampuannya di posisi sebenar.
2. Manuel Hidalgo
Nama bekas pemain sayap lincah Sri Pahang FC, Manuel Hidalgo kini jarang menjadi sebutan selepas lebih banyak menghangatkan bangku simpanan bersama Harimau Selatan.
Tidak hairanlah situasi itu berlaku memandangkan Hidalgo perlu bersaing dengan tonggak utama Harimau Malaya, Arif Aiman Hanapi bagi mengisi posisi sayap kanan, satu tempat yang sukar digugat.

Pemain sayap kanan, Manuel Hidalgo. — Facebook/JST
Arif Aiman sememangnya dianggap nadi utama skuad Harimau Selatan dan menjadi antara pemain paling konsisten musim ini.
Namun, dengan JDT bakal menentang DPMM FC yang masih mencari rentak dalam saingan Liga Super, perlawanan itu dilihat masa terbaik untuk Munoz merehatkan Arif Aiman dan memberi peluang kepada Hidalgo untuk kembali membina keyakinan serta menambah minit permainan bersama skuad utama.
3. Nathaniel Shio Hong Wan
Pemain tengah JDT, Shio Hong Wan antara nama yang perlu diberi perhatian.
Selepas berehat panjang hampir semusim akibat jangkitan misteri pada kaki, Hong Wan kini dalam usaha mendapatkan kembali kecergasan penuh.

Pemain tengah JDT, Hong Wan. — Facebook/JST
Setakat ini, dia hanya membuat tiga penampilan bersama JDT dengan aksi penuh selama 90 minit ketika menentang UM Damansara.
Perlawanan menentang DPMM dijangka menjadi peluang ideal buatnya untuk mengumpul semula minit permainan dan menyesuaikan diri dengan intensiti liga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
