Kejohanan Ragbi SBP7s ditunda ke Januari, hormati tragedi kematian pelajar SMS Johor


  • Massa
  • Sabtu, 04 Okt 2025

Fauzan (gambar kecil) meninggal dunia semasa turun beraksi melawan Sekolah Menengah Sains Rembau (SEMESRA) dalam Kejohanan Ragbi SBP7s.

KEJOHANAN Ragbi 7 Sepasukan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) 2025, yang ditangguhkan susulan insiden tragik melibatkan seorang pelajar, Muhammad Fauzan Mohd Sulaiman, 16, dijadualkan semula pada Januari depan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata keputusan itu diambil bagi memastikan kesinambungan pertandingan sambil tetap menghormati keluarga pelajar terbabit.

Beliau menegaskan bahawa keselamatan peserta tetap menjadi keutamaan, dan semua persiapan serta langkah kecemasan telah diambil sebelum pertandingan diteruskan.

BACA LAGI : Hormati insiden pelajar SMS Johor meninggal dunia ketika perlawanan, Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan SBP 2025 akan dijadualkan semula

BACA LAGI : Aksi ditangguhkan, pelajar SMS Johor meninggal dunia ketika bermain ragbi

"Keputusan ini diambil setelah mengambil kira semua keadaan dan sebagai tanda simpati, serta untuk mendidik anak-anak supaya memahami kepentingan rasa empati dalam menghadapi situasi sebegini.

"Sehubungan itu, pertandingan ini akan diteruskan pada Januari tahun hadapan, iaitu dari 28 hingga 31 Januari,” katanya pada Majlis tahlil dan bacaan Yasin yang diadakan di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh dekat Perak pada Sabtu.

Fadhlina Sidek (tiga darikiri) pada Majlis tahlil dan bacaan Yasin yang diadakan di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh dekat Perak pada Sabtu.

Tambah Fadhlina lagi, keselamatan semua peserta tetap menjadi keutamaan pihak kementerian.

"Semua persiapan, termasuk langkah kecemasan dan protokol keselamatan semasa pertandingan, telah diambil bagi memastikan kejadian tidak dijangka dapat diminimakan.

“Para peserta akan kembali ke sekolah masing-masing dan dijadualkan menyertai kejohanan pada tarikh baharu ini," ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan Muhammad Fauzan meninggal dunia ketika sedang beraksi mewakili Sekolah Menengah (SMS) Johor pada Jumaat.

Muhammad Fauzan dikatakan meninggal dunia semasa turun beraksi melawan Sekolah Menengah Sains Rembau (SEMESRA) dalam Kejohanan Ragbi SBP7s.

Bedah siasat ke atas mayat pelajar sekolah tersebut mendapati punca kematiannya adalah disebabkan pendarahan dalaman otot pinggul.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, bedah siasat ke atas mayat pelajar berumur 16 tahun itu dijalankan pada Jumaat di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Johor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram