
NAMA Nidzam Jamil musim ini semakin meniti di bibir penyokong bola sepak tanah air selepas pengendali itu mampu membawa Negeri Sembilan FC (NSFC) menjadi satu satu kelab digeruni pada kempen kali ini.
Setakat enam perlawanan Liga Super, ketua jurulatih berusia 45 tahun berkenaan membantu skuad Jang menghuni tangga keenam dengan pasukan tersebut sudah mencetak dua kemenangan, dua seri dan selebihnya akur merekodkan kekalahan.
Tidak cukup dengan konsistensi di saingan liga, Nidzam juga dalam misi memburu slot separuh akhir Piala FA apabila kini dia sedang mempersiapkan pasukan menentang Selangor FC dalam aksi suku akhir pertama kejohanan itu.
BACA LAGI: [VIDEO] ‘Tolong buat sesuatu YB’, Baddrol Bakhtiar jadi harapan selamatkan bola sepak Kedah
BACA LAGI: Tanpa TMJ, bola sepak Malaysia sudah lama berakhir — Peter Cklamovski
Pusingan pertama yang akan berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Sabtu, skuad Jang sudah pasti akan bekerja keras untuk mendapatkan keputusan yang positif bagi memudahkan laluan mereka melangkah ke peringkat separuh akhir.
Bukan hanya cemerlang memberikan taktikal untuk kelab bimbingannya, Nidzam kini menjadi tumpuan warganet apabila videonya menyanyi di The Stadium Semenyih, Selangor mula tular di media sosial baru-baru ini.
Rakaman itu memaparkan Nidzam santai menghiburkan penonton dengan suara merdu dan penuh keyakinan, sekali gus mengejutkan ramai peminat yang sebelum ini hanya mengenalinya sebagai jurulatih berprofil tinggi.
Menerusi video dimuat naik di laman TikTok, The.Stadium.Semen, kelihatan Nidzam mendendangkan lagu Bintang yang dipopularkan oleh kumpulan muzik 90-an, Budak Kacamata.
"Kalau tak jadi coach katanya nak jadi rock star. Apa macam, boleh ke tak?. Ini rare scene, kalau nak tengok coach tukar profession boleh lah singgah The Stadium Semenyih. Kalau dapat 50k likes, dia nyanyi lagi katanya," ujarnya.
Aksi spontan itu mencuri perhatian penyokong NSFC yang rata-ratanya teruja melihat sisi berbeza jurulatih kesayangan mereka apabila mampu mencuri hati dengan bakat nyanyian yang tidak disangka-sangka.
Klip nyanyian Nidzam itu nampaknya bakal menjadi tonik tambahan untuk para pemain skuad Jang berjuang habis-habisan untuk membawa pulang keputusan positif di laman sendiri bagi memudahkan laluan ke pusingan seterusnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram