[VIDEO] 'Confirm seminggu tak basuh tangan', budak pengiring aksi JDT-Penang tak henti tersengih dapat pegang glove Syihan


  • Podium
  • Ahad, 19 Okt 2025

Tangkap layar memaparkan kanak-kanak berkenaan dilihat begitu teruja selepas diberi peluang berdiri di sebelah penjaga gol utama Harimau Selatan, Ahmad Syihan Hazmi.

GELAGAT seorang pengiring cilik dalam aksi suku akhir pertama Piala FA 2025/26 antara Penang FC dan  Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Jumaat mencuri tumpuan ramai peminat bola sepak tempatan.

Menerusi satu hantaran video di laman Instagram rasmi @mfl_my, kanak-kanak berkenaan dilihat begitu teruja selepas diberi peluang berdiri di sebelah penjaga gol utama Harimau Selatan, Ahmad Syihan Hazmi.

Confirm tak basuh tangan seminggu adik tu dapat pegang glove Syihan Hazmi,” tulis MFL dalam kapsyen hantaran berkenaan.

BACA LAGI: ‘Tiada seorang pun yang pandang saya’, Shaukat sokong idea TMJ bawa WWE-UFC ke SSI

BACA LAGI: Kongsi foto atas padang, 2 pemain warisan optimis kembali beraksi secepat mungkin

 

 

Dalam video berdurasi 36 saat itu, wajah ceria pengiring cilik tersebut jelas terpancar apabila dia bukan sahaja berdiri di sisi Syihan, malah sempat memegang sarung tangan milik penjaga gol skuad kebangsaan itu.

Lebih menghiburkan, selepas selesai mengiring pemain ke tengah padang, pengiring cilik itu dilihat menghidu tangannya sambil tersenyum lebar, satu tanda kegembiraannya kerana dapat menyentuh sarung tangan idolanya.

Momen manis itu turut diserikan dengan reaksi mesra daripada Syihan yang memberi layanan baik kepada pengiring berkenaan, sekali gus menjadikan detik itu antara yang paling mencuit hati dalam perlawanan berkenaan.

Dalam aksi berkenaan, skuad Harimau Selatan meraih kemenangan 2-1 hasil jaringan Oscar Arribas dan Ager Aketxe, sekali gus membawa bekalan selesa menjelang aksi timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada 28 Oktober nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram