TENGKU Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah tampil menjelaskan bahawa tujuh pemain warisan yang dikenakan tindakan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), baru-baru ini adalah antara mereka yang baginda cadangkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Tengku Abdul Rahman bertitah, cadangan itu dibuatnya dengan niat murni untuk membantu memperkukuh skuad Harimau Malaysia serta membuka ruang kepada bakat berdarah Malaysia di luar negara berkhidmat kepada tanah air.
Tengku Muda Pahang bertitah, sejak hujung tahun lalu, beberapa ejen menghubunginya bagi mencadangkan pemain untuk tujuan penilaian.
BACA LAGI: Tiket tak lagi laku, NSFC perlu pantas kekalkan kemeriahan di Paroi
BACA LAGI: Fans Singapura kata lawan JDT rehatkan ramai pemain bintang, patut menang mudah

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Tengku Muda Pahang.
"Saya memanjangkan cadangan terbabit kepada FAM untuk dinilai dengan lebih terperinci bagi menentukan sama ada pemain-pemain berkenaan memenuhi syarat sebagai pemain warisan dan seterusnya dipertimbangkan untuk menyertai skuad kebangsaan.
"Antara pemain yang pernah saya syorkan kepada FAM termasuklah tujuh pemain warisan yang kini terbabit dalam kes siasatan dan sekatan oleh FIFA," titah Tengku Abdul Rahman menerusi satu kenyataan.
Tengku Abdul Rahman bertitah, semua tujuh pemain terbabit kini adalah warganegara Malaysia yang sah selepas diberikan kewarganegaraan oleh kerajaan melalui proses yang sah dan teratur mengikut peruntukan undang-undang negara.
Pada masa sama, Tengku Abdul Rahman turut menzahirkan penghargaan terhadap visi dan usaha berterusan Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dalam mempertingkatkan mutu bola sepak negara serta menjadikan kelab Johor Darul Ta'zim sebagai penanda aras profesionalisme dan pengurusan moden bola sepak tempatan.

Tujuh pemain warisan skuad Harimau Malaya digantung daripada beraksi selama 12 bulan oleh FIFA.
"Bertitik tolak daripada semangat terbabit, saya juga ingin berkongsi sedikit sumbangan dan pengalaman saya dalam industri bola sepak, khususnya berkaitan proses naturalisasi calon-calon pemain serta pemain berpotensi yang layak sebagai pemain warisan untuk mewakili skuad kebangsaan," titah Tengku Abdul Rahman.
Tengku Abdul Rahman turut mengimbas peranan pasukan Pahang dalam proses naturalisasi pemain terdahulu seperti Mohamadou Sumareh, Sergio Aguero dan Lee Tuck yang dilaksanakan bagi memperkukuh skuad Harimau Malaya dan menambah pilihan taktikal kepada barisan kejurulatihan.
Tengku Abdul Rahman menegaskan, pemain naturalisasi dan pemain warisan mampu meningkatkan kualiti permainan serta daya saing skuad negara.
"Setiap usaha yang dapat membantu mempertingkatkan standard bola sepak Malaysia akan sentiasa saya sokong," titah baginda. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
