TMJ anggap hukuman FIFA tak akan berubah, mungkin hanya diringankan


  • Podium
  • Sabtu, 25 Okt 2025

Tunku Ismail percaya tindakan FIFA ke atas FAM dan ketujuh-tujuh pemain tidak akan berubah.

TUNKU Ismail Sultan Ibrahim melihat hukuman dikenakan FIFA ke atas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung isu tujuh pemain warisan tidak akan berubah.

Dalam satu sesi sidang media pada Sabtu, pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) itu berpandangan terdapat kemungkinan tindakan dikenakan ke atas badan induk bola sepak negara itu hanya diringankan.

"Saya juga ingin katakan mereka mungkin tak akan tukar keputusan. Mungkin diringankan, berkemungkinan. Mungkin pemotongan mata, penggantungan dan denda. Berapa lama kita tak tahu," kata Tunku Ismail. 

BACA LAGI: 'Give everything you got. Bring it', TMJ sedia jawab semua soalan di sidang media

BACA LAGI: Mendengar sendiri visi jelas TMJ, Indra Putra percaya urus krisis FIFA dapat diselesaikan

FAM difahamkan sedang membuat rayuan terhadap denda dan penggantungan dikenakan FIFA. Facebook/FAM

Terdahulu, media melaporkan tujuh pemain warisan iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Facundo Garces, Imanol Machuca, Gabriel Palmero serta Rodrigo Holgado masing-masing dikenakan penggantungan 12 bulan dan denda CHF2,000 (RM10,560).

Skandal tersebut turut menyaksikan FAM dikenakan denda mencecah CHF350,000 (RM1.8 juta) dengan hukuman terbabit difahamkan sedang melalui proses rayuan seperti mana pernah dinyatakan sebelum ini.

Bagaimanapun, kenyataan Tunku Ismail sedikit sebanyak menceritakan situasi jelas dihadapi ketujuh-tujuh pemain serta badan induk bola sepak negara berkenaan dengan FIFA masih belum memberi kata akhir mengenai isu terbabit.

"Tetapi, walau apa sekali pun keputusan itu, pihak peguam mewakili skuad kebangsaan akan cari jalan penyelesaian untuk kita menyelesaikan masalah dan isu ini.

"Namun, sekiranya rayuan dibuat terhadap FIFA tidak mengubah keputusan, kita tiada pilihan lain selain membawa kes ini kepada CAS (Mahkamah Timbang Tara Sukan)," jelas Tunku Ismail lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram