
BEKAS pemain bola sepak kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin, menggesa komuniti bola sepak Malaysia agar menaruh kepercayaan penuh terhadap kepimpinan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, susulan krisis yang melibatkan penggantungan tujuh pemain campuran warisan Harimau Malaya oleh FIFA.
Indra menegaskan visi, misi serta rekod kepimpinan Tunku Ismail menjadikannya individu yang tepat untuk memimpin bola sepak negara menghadapi tempoh mencabar ini.
BACA LAGI: Skandal pemain warisan: JDT kecewa kesilapan teknikal, harap isu selesai segera
BACA LAGI: [VIDEO] Proses kewarganegaraan pemain warisan ikut Perlembagaan Persekutuan — KDN
“Kita perlu mempercayai dan menyokong kepimpinan TMJ dalam merancang penyelesaian jangka pendek dan panjang bagi memastikan bola sepak Malaysia tidak terus merosot,” kata Indra selepas mengadakan pertemuan dengan Tunku Ismail di Johor pada Khamis.
Indra Putra menegaskan visi, misi serta rekod kepimpinan Tunku Ismail menjadikannya individu yang tepat untuk memimpin bola sepak negara menghadapi tempoh mencabar ini.
Indra turut meluahkan rasa teruja kerana berpeluang mendengar sendiri visi jelas TMJ bagi masa depan bola sepak negara.
“Saya sangat terinspirasi bertemu TMJ dan mendengar rancangan beliau untuk bola sepak kita.
"Pesanannya sangat jelas, dan saya yakin dengan dedikasi serta semangatnya, bola sepak Malaysia mampu melonjak ke tahap lebih tinggi," katanya.
Menyentuh mengenai situasi semasa, Indra mengingatkan peminat dan pihak berkepentingan bahawa kini bukan masa untuk saling menyalahkan, sebaliknya waktu untuk bersatu.
“Dalam tempoh sukar ini, kita tidak boleh terjebak dalam budaya menyalahkan antara satu sama lain. Kita perlu bangkit bersama, bergerak sebagai satu pasukan, dan memastikan masa depan bola sepak Malaysia terus terpelihara," katanya.
Indra turut menyeru semua pihak berkepentingan dalam bola sepak untuk bersatu dan mencari penyelesaian konstruktif demi kebaikan sukan ini.
“TMJ telah membuktikan beliau mampu membawa perubahan positif melalui kerja bersama Johor Darul Ta’zim (JDT). Kepimpinan serta jaringan antarabangsa beliau boleh membantu Malaysia mengatasi krisis ini,” tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram