Kuching City FC: Model contoh terbaik bola sepak tempatan


  • Podium
  • Isnin, 20 Okt 2025

Kuching City FC yang dahulunya dianggap pasukan belasahan kini wajar dijadikan contoh bola sepak tempatan.

PERMULAAN musim yang cemerlang diteruskan Kuching City FC selepas merekodkan kemenangan 4-1 ketika berdepan Terengganu FC dalam suku akhir pertama Piala FA 2024/25.

Keputusan itu sekali gus meletakkan kelab Borneo tanah air tersebut sebagai pasukan pilihan untuk ke pusingan separuh akhir memandangkan aksi timbal balik bakal berlangsung di laman sendiri.

Ini merupakan satu berita baik buat pasukan berkenaan yang turut beraksi secara konsisten dalam saingan Liga Super kerana mereka kini di tangga keempat hasil 13 mata dikutip.

BACA LAGI: [VIDEO] Danial Asri sudah nampak, Aidil Sharin minta fans sabar andai mahu lihat impak Nistelrooy

BACA LAGI: YCL idam taktikal lebih baik di Gong Badak, DPMM tunggu kejutan Aidil Sharin

Skuad The Cats pada awalnya bergelut ketika beraksi dalam Liga Super. Facebook/Kuching City FC

Penyokong sudah tentu bergembira dengan kedudukan Kuching City FC ketika ini kerana hanya tiga tahun lalu, mereka terpaksa akur dengan status pasukan belasahan pada musim pertama dalam divisyen teratas bola sepak tanah air.

Malah, dalam saingan Liga Super 2023, skuad The Cats menamatkan saingan di tangga tercorot selepas mengalami 22 kekalahan dan hanya lapan mata terkumpul.

Tetapi, sekali pun gagal menampilkan prestasi cemerlang, kelab tersebut tidak mengalami sebarang masalah di luar padang, membuktikan pihak pengurusan mempunyai perancangan teratur pada tahun-tahun mendatang.

Perancangan pertama dibuat adalah dengan melantik Aidil Sharin Sahak yang sudah terbukti dalam Liga Super selepas tiga tahun membimbing Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Kepercayaan penuh diberikan terhadap jurulatih dari Singapura itu, termasuk pada jendela perpindahan apabila dia diberi kuasa membawa masuk pemain terbaik berdasarkan gaya permainannya.

Pelantikan Aidil Sharin boleh dikatakan titik kebangkitan skuad The Cats.

Hasil mula disaksikan pada musim 2024/25 apabila Kuching City FC semakin bersemangat dalam Liga Super dengan merekodkan keputusan mengejutkan seperti mengikat Kuala Lumpur (KL) City FC dan menundukkan Selangor FC di laman sendiri.

Lebih membanggakan lagi, peningkatan itu dibuat tanpa memerlukan pelaburan besar-besaran memandangkan majoriti dari perlawanan menyaksikan rata-rata pemain lokal diletakkan dalam kesebelasan utama.

Prestasi konsisten menyaksikan skuad The Cats menamatkan saingan Liga Super 2024/25 di kedudukan keempat sementara melayakkan diri ke suku akhir dalam Piala FA dan Piala Malaysia.

Malah, musim ini, pasukan itu dijangka mampu melangkah lebih jauh memandangkan mereka kini berpeluang cerah untuk merebut slot ke pentas Asia buat pertama kali dalam sejarah.

Selepas enam perlawanan, skuad The Cats hanya berada tiga mata di belakang KL City FC di tangga kedua dengan konsistensi boleh dikatakan lebih berpihak kepada pasukan kendalian Aidil.

Skuad The Cats sedikit sebanyak mengesahkan kelayakan ke separuh akhir Piala FA 2024/25. Facebook/Kuching City FC

Di pentas Piala FA pula, kemenangan selesa di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu sedikit sebanyak mengesahkan status mereka di pusingan separuh akhir meskipun masih terdapat 90 minit yang bakal dimainkan kedua-dua pasukan.

Setiap kejayaan dikecapi setakat ini sekali lagi dibuat tanpa memerlukan pelaburan besar kerana pasukan itu lebih banyak menurunkan bintang lokal berbanding pemain import.

Selain itu, kredit besar perlu diberikan kepada Aidil yang dapat mengembalikan Danial Asri, Haziq Nadzli dan Ramadhan Saifullah ke prestasi sebenar selepas bertahun-tahun dilupakan.

Kemajuan demi kemajuan ditonjolkan membuktikan bahawa Kuching City FC perlu dijadikan tauladan kelab-kelab Liga Super kerana mereka berjaya di dalam mahupun di luar padang.

Pelaburan besar-besaran boleh dikatakan kunci utama dalam melahirkan pasukan terbaik seperti mana pernah dibuat KDA FC pada 2023 dan Kelantan Darul Naim (KDN) FC musim lalu.

Skuad Sang Kenari terlalu bercita-cita besar sepanjang musim 2023. Facebook/KDA FC

Bagaimanapun, sekiranya gagal mengurus perbelanjaang secara berhemah, terdapat kemungkinan besar mereka tidak mampu bertahan lama dengan hal dialami kelab-kelab di atas menjadi bukti jelas.

Sebaliknya, jika terlalu mementingkan perkembangan di luar padang, penyokong pasti tidak berpandangan setiap langkah diambil pihak pengurusan membawa kejayaan dan kemajuan.

Contoh terbaik mengenai perkara itu adalah Selangor FC yang belum menampilkan sebarang hasil meskipun saban tahun mampu menarik syarikat besar sebagai penaja utama.

Ini sekali gus membuktikan bahawa Kuching City FC merupakan model terbaik untuk dicontohi pasukan Liga Super tanpa memerlukan suntikan dana jutaan ringgit saban tahun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram