
BEKAS import yang juga legenda Kedah, Nelson San Martin bersama Marlon Alex James, Cornelius Bernard Huggins dan Baddrol Bakhtiar meluangkan masa menziarahi pusara dua tokoh besar yang menjadi arkitek utama era kegemilangan Ex Double Treble Kedah iaitu Allahyarham Azraai Khor Abdullah dan Datuk Ahmad Basri Mohd Akil.
Perkara itu dikongsikan oleh Nelson San Martin di laman Facebook miliknya pada Rabu.
Menurut Nelson, sebaik sahaja melangkah ke tanah perkuburan dan melihat nama kedua-dua tokoh itu terukir pada batu nisan, satu perasaan sayu dan rindu yang mendalam menyelubungi mereka.
BACA LAGI: Proses beri kerakyatan ikut saluran betul, ada statut itu hal FIFA dan FAM — Saifuddin
BACA LAGI: Bukannya lalang, fans Sabah tak sanggup lagi keluarkan RM600 hanya tonton kekalahan
Nelson(kiri) merupakan salah seorang pemain import legenda Kedah yang disegani. — Facebook
“Ia terasa sangat menyentuh hati. Kedua-dua mereka pernah membawa kegembiraan dan kebanggaan besar kepada Kedah. Sekarang, mereka tiada lagi di sisi kita,” luah Marlon dengan penuh emosi.
Bagi Nelson, Allahyarham Azraai bukan sekadar jurulatih tetapi figura ayah yang banyak membentuk perjalanannya sebagai pemain bola sepak.
“Walaupun saya kembali ke Chile selepas meninggalkan Kedah, kami tidak pernah terputus hubungan. Beliau sering menghantar mesej, mendoakan saya dan berharap saya akan kembali suatu hari nanti.
"Sayangnya, beliau pergi beberapa bulan sebelum saya sempat pulang ke Kedah. Saya benar-benar berharap dapat bertemu dengannya buat kali terakhir," katanya.
Bekas Pengarah Teknikal KDA FC B itu turut mengenang Datuk Ahmad Basri sebagai seorang pengurus yang penuh wibawa dan berjiwa besar.
“Beliau tidak pernah menganggap saya sebagai orang luar. Saya dilayan seperti sebahagian daripada keluarga. Bekerja di bawah kepimpinannya adalah satu penghormatan yang tidak ternilai," tambahnya.
Mengulas lanjut mengenai Piala CT Global Legend Cup 2025 yang bakal diadakan di Stadium Darul Aman pada Jumaat, Nelson menegaskan bahawa ia bukan sekadar perlawanan persahabatan, tetapi satu perayaan memori dan penghormatan kepada warisan bola sepak Kedah.
“Ini tentang persaudaraan, kenangan, dan mereka yang telah membina legasi emas bola sepak Kedah. Kita tidak melupakan sesiapa," ujarnya.
Beliau turut menyeru seluruh rakyat Kedah, tanpa mengira kelab atau pasukan yang disokong sama ada Kedah Darul Aman FC, KFA atau yang lain untuk kembali memenuhi stadium dan menyemarakkan semangat seperti zaman kegemilangan dahulu.
“Mari kita hidupkan semula sorakan, semangat dan kebanggaan itu. Untuk Coach Azraai, untuk Datuk Basri, dan untuk cinta kita terhadap bola sepak Kedah," ujarnya.
Susulan itu, ada segelintir penyokong menyeru agar satu penghormatan diberikan kepada dua legenda bola sepak Kedah, Azraai Khor dan Datuk Ahmad Basri, sambil mengenang kejayaan gemilang skuad Kedah FA 2007/2008 serta mengiktiraf pengorbanan dan semangat juang mereka yang kekal menjadi kenangan abadi.
"Saya berharap agar sebelum atau selepas perlawanan Jumaat ini, para pemain dapat meluangkan satu detik istimewa di stadium bagi memberi penghormatan tulus kepada mendiang jurulatih Azraai Khor dan Allahyarham Datuk Ahmad Basri, dua tokoh yang banyak membentuk semangat bola sepak negara," kata Shukran Saad.
"Jiwa yang tak dapat beli atau ditipu, sepenuh jiwa mereka untuk Kedah Darul Aman, mereka semua memang sangat layak digelar legenda KDA FC. 2007/2008 sentiasa terpahat di hati mereka suka dan duka untuk Hijau Kuning.
'Terima kasih untuk segalanya buat semua wira Ex Double Treble Kedah FA 2007/2008, the best moment and the best memory in the world, Alhamdulillah pernah ada dan menjadi sebahagian keluarga 2007/2008 ketika itu, hanya kenangan yang dapat ingati sampai bila-bila, Biar Jasa Jadi Kenangan," kata Jamil Mell. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram