[VIDEO] ‘Tolong buat sesuatu YB’, Baddrol Bakhtiar jadi harapan selamatkan bola sepak Kedah


  • Podium
  • Sabtu, 11 Okt 2025

Stadium Darul Aman kembali bergema dengan sorakan dan nyanyian semangat apabila lebih 18,000 penyokong setia membanjiri gelanggang keramat itu. —​​​​​​​ Facebook/BaddrolBakhtiar

BEKAS kapten Kedah Darul Aman FC, Baddrol Bakhtiar meluahkan rasa terharu dan penghargaan atas sokongan luar biasa yang ditunjukkan oleh penyokong setia Hijau Kuning sempena aksi CT Global Legend Cup 2025 yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah pada Jumaat.

Perlawanan istimewa yang menemukan legenda pasukan Kedah era Double Treble dengan barisan bekas pemain kebangsaan itu mencetuskan suasana penuh nostalgia, seolah-olah membawa penyokong kembali ke zaman kegemilangan bola sepak negeri Jelapang Padi.

Menerusi satu perkongsian di Facebook, Baddrol berkongsi keterujaannya melihat lebih 18,000 penyokong membanjiri stadium keramat itu, sekali gus membuktikan semangat Sang Kenari masih menyala dalam jiwa rakyat Kedah.

BACA LAGI: Kisah berbeza 2 bintang ‘terperap’ JDT, seorang bergelut seorang lagi terus konsisten

BACA LAGI: [VIDEO] Tradisi dikekalkan, skuad Double Treble santuni rakyat Kedah bukti sokongan peminat jangan dipandang 'sebelah mata'

"Stadium Darul Aman dibanjiri oleh penonton pada malam tadi, Alhamdulillah. Seramai 18,208 penonton yang hadir, satu suasana yang cukup luar biasa," katanya.

Beliau turut menyifatkan sorakan, lautan Hijau Kuning dan bunyi hon sebagai simbolik semangat Kedah yang tidak pernah luntur, walaupun pasukan negeri itu kini berdepan cabaran besar dalam kancah bola sepak tanah air.

"Sorakan gegar stadium, ombak hijau kuning, bunyi hon dan semangat luar biasa buat kita rasa macam balik ke zaman kegemilangan dulu," ujarnya. 

Seramai 18,000 penyokong setia membanjiri Stadium Darul Aman. — Facebook/BaddrolBakhtiar

Menurut Baddrol, CT Global Legend Cup bukan sekadar perlawanan persahabatan, tetapi menjadi satu momen bermakna yang menyatukan semula penyokong dan bekas pemain dalam satu suasana penuh emosi.

"CT Global Legend Cup bukan sekadar perlawanan, tapi satu kenangan hidup yang kembalikan semangat Kedah yang tak pernah luntur dari jiwa," tambahnya.

Baddrol turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan acara ini, termasuk penaja, petugas, rakan sepasukan dan para pemain legenda.

Di sebalik sambutan luar biasa itu, ramai penyokong turut menyuarakan harapan agar Baddrol memainkan peranan lebih aktif dalam membantu menghidupkan semula bola sepak Kedah.

"Tolong bantu pasukan Kedah balik YB, tak kira Kedah FA atau Kedah Darul Aman FC (KDA FC). Buat sesuatu, cipta sejarah baru," tulis Khairul Anuar Asri.

"Semoga YB boleh bantu hidupkan semula bola sepak Kedah. Dua wakil negeri seperti Kedah FA dan KDA FC perlukan sokongan," kata Mohamad Asrul.

Harapan itu hadir selepas KDA FC digugurkan daripada saingan Liga Super musim 2025-2026 sehingga 2026-2027 susulan kegagalan mendapatkan lesen kebangsaan daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Kini, pasukan itu beraksi dalam Liga A1 Semi Pro, manakala sebahagian besar pemain utama telah berhijrah ke kelab lain.

Perlawanan di Stadium Darul Aman itu menyaksikan aksi sengit dengan keputusan terikat 2-2 hasil jaringan Mahalli, Marlon, Nelson San Martin dan Amri Yahyah, sebelum Ex Double Treble menewaskan Ex Malaysia menerusi penalti untuk muncul juara sulung CT Global Legend Cup 2025.

Acara itu bukan sahaja menghidupkan semula kenangan lama, malah menjadi isyarat bahawa bola sepak Kedah masih mempunyai penyokong setia yang sentiasa menanti kebangkitan semula pasukan kesayangan mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram