Hal baik aksi nostalgik di Kedah-Kelantan terima sambutan, tapi tiba masa cipta kenangan baru


  • Podium
  • Isnin, 13 Okt 2025

Kedah FA dan Kelantan FA perlu mencari jalan dalam memastikan arena bola sepak di negeri itu kembali meriah.

KEMERIAHAN dapat dirasakan di Stadium Darul Aman, Kedah pada Jumaat lalu ketika aksi CT Global Legend Cup melibatkan bekas pemain dalam skuad double treble Kedah dan legenda bola sepak tanah air.

Perlawanan amal itu menyaksikan seramai 18,000 penonton hadir untuk mengubati kerinduan terhadap nama-nama besar seperti Marlon Alex James, Nelson San Martin dan Baddrol Bakhtiar yang sekali lagi berada dalam sebuah pasukan.

Catatan kehadiran tersebut merupakan satu angka yang baik kerana secara tidak langsung, ia membuktikan arena bola sepak di negeri itu masih kuat.

BACA LAGI: Import tak boleh 'cari makan', Liga A1 rupanya platform penyerang lokal menyerlah, jadi topscorer AFL

BACA LAGI: Tolak mata dan denda elak drama garisan padang berulang atau Liga A1 bakal hilang peminat

Penyokong membanjiri Stadium Darul Aman bagi menyaksikan perlawanan melibatkan bekas pemain Kedah. Facebook/Kedah FA

Ia juga bukanlah sesuatu hal mengejutkan kerana kemeriahan perlawanan melibatkan bekas pemain sesebuah pasukan juga pernah disaksikan di Kelantan setiap kali bintang dalam skuad treble The Red Warriors (TRW) kembali bergabung.

Contoh terbaik boleh disaksikan ketika PUC Cup pada Jun lalu apabila Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan dibanjiri penyokong yang amat merindui zaman kegemilangan kelab berkenaan.

Bagaimanapun, situasi itu tidak menceritakan kisah sebenar di sebalik perkembangan bola sepak semasa di kedua-dua negeri yang pernah digeruni di peringkat domestik satu ketika dahulu.

Suasana bola sepak di Kelantan boleh dikatakan dalam proses pembaikan memandangkan Kelantan The Real Warriors (TRW) FC mula memberi sedikit saingan dalam Liga Super dan Piala FA 2025/26.

Suasana meriah dirasakan ketika aksi melibatkan skuad treble Kelantan.

Dua lagi wakil dalam Liga A1 Semi Pro iaitu Kelantan Wan Tendong Stable (WTS) FC dan Kelantan Red Warriors (KRW) FC juga tidak kurang hebatnya dengan kestabilan menjadi misi utama pihak pengurusan.

Namun, prestasi ketiga-tiga pasukan itu belum dapat mencipta semula kemeriahan di stadium keramat berkenaan dengan suasana terbabit belum dinikmati setakat ini.

Jumlah penyokong memberangsangkan mungkin mampu disaksikan ketika aksi suku akhir pertama Piala FA menentang Sabah FC pada Jumaat depan memandangkan skuad Kijang Emas memerlukan sorakan penyokong untuk melepasi ujian pihak lawan.

Setakat ini, kelab Pantai Timur itu belum mengemas kini jumlah tiket terjual untuk pertembungan penting tersebut dengan harga berpatutan ditetapkan pihak pengurusan, iaitu serendah RM15 bagi tempat duduk terbuka.

Skuad Kijang Emas mengharapkan kehadiran penyokong dalam aksi suku akhir Piala FA pada Jumaat depan. Facebook/The Real Warriors FC

Sementara itu, suasana bola sepak di Kedah juga tidak begitu memberangsangkan meskipun terdapat dua pasukan hadir beraksi dalam saingan Liga A1 Semi Pro.

Kedah FA yang berada di bawah kelolaan kerajaan negeri kembali mewarnai arena bola sepak tempatan buat kali pertama sejak penswastaan berlaku kira-kira lima tahun lalu.

Kedah Darul Aman (KDA) FC yang dihalang penyertaan ke Liga Super 2025/26 turut menyertai pertandingan anjuran Liga Bola Sepak Amatur (AFL) itu sebagai platform kepada pemain muda.

Situasi sama turut disaksikan dari segi kehadiran penyokong kerana keberadaan dua pasukan itu belum dapat menarik penyokong secara konsisten dari satu perlawanan ke perlawanan lain.

Kedua-dua pasukan Kedah belum menarik kehadiran penyokong memberangsangkan. Facebook/KDA FC

Skuad Lang Merah yang berada dalam prestasi terbaik juga sukar memastikan kehadiran peminat ke Stadium Darul Aman, Kedah walaupun kini berada di tangga ketiga Liga A1 Semi Pro.

Ini sekali gus membuktikan penyokong bola sepak di Kedah dan Kelantan terus tenggelam dalam kenangan lalu ketika pasukan dari negeri terbabit digeruni dan dihormati.

Bagaimanapun, mereka tidak boleh dipersalahkan kerana masing-masing sudah tentu tertarik untuk menonton perlawanan secara langsung jika keputusan baik dapat dicatatkan.

Hal berkenaan mendesak pihak berkepentingan untuk segera mencari solusi bagi memastikan kemeriahan pasukan semasa dapat dirasakan dan tidak terus mengharapkan kelibat bekas pemain semata-mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram