Tiba masa Xisco Munoz beri minit buat bintang terperap, ganti 3 tonggak sibuk galas tugas bersama Harimau Malaya


  • Podium
  • Selasa, 14 Okt 2025

Skuad Harimau Selatan dibarisi lambakan pemain berkualiti yang mampu mengisi kekosongan sesiapa sahaja digugurkan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

HUKUMAN dikenakan FIFA terhadap tujuh pemain warisan negara bukan hanya memberi tamparan hebat kepada Harimau Malaya, malah turut membawa kesan hebat ke atas Johor Darul Ta'zim (JDT).

Manakan tidak, tiga daripada mereka yang dihukum iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal serta Hector Hevel berada dalam skuad Harimau Selatan dengan masing-masing sudah mencurahkan impak besar setakat ini.

Situasi itu akan semakin merunsingkan pengendali, Xisco Munoz untuk memilih kesebelasan utama terbaik menjelang suku akhir pertama Piala FA menentang Penang FC pada Jumaat.

BACA LAGI: Bangkitlah Sang Penyu, jangan biarkan derita tersingkir awal Piala FA 2016 berulang

BACA LAGI: Hal baik aksi nostalgik di Kedah-Kelantan terima sambutan, tapi tiba masa cipta kenangan baru

Sebahagian besar tonggak JDT kini sibuk dalam tugasan bersama skuad kebangsaan. Facebook/Malaysia NT

Ini kerana sebahagian besar dari pasukan kini terlibat bersama skuad kebangsaan dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027 dengan masing-masing memerlukan waktu rehat bagi mengelak risiko kecederaan.

Nama-nama utama seperti Arif Aiman Hanapi, Afiq Fazail dan Syihan Hazmi sudah tentu perlu diketepikan kerana mungkin akan turut terlibat dalam perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur menentang Laos pada Selasa.

Bagaimanapun, Munoz sebagai jurulatih tidak perlu gusar memandangkan JDT memiliki lambakan pilihan lain, terutamanya buat ketiga-tiga tonggak dinyatakan di atas.

Meskipun gaya permainan tidaklah begitu sama, kualiti dimiliki boleh membantu skuad Harimau Selatan meraih kelebihan dalam aksi pertama di tempat lawan.

1. Manuel Hidalgo

Kebolehan pemain sayap dari Argentina, Manuel Hidalgo tidak perlu diceritakan lagi kerana sepanjang beraksi bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Sri Pahang FC, dia kerap diangkat kerana kebolehannya dari segi menggelecek.

Tetapi, setakat ini, namanya sedikit tenggelam dalam skuad Harimau Selatan memandangkan posisi sayap kiri lebih kerap diiisi Figueiredo sebelum hukuman dikenakan ke atasnya.

Peluang terhad itu menyaksikan Hidalgo hanya merekodkan tujuh penampilan domestik setakat ini dengan satu gol dan satu bantuan jaringan sudah ditempa dalam aksi Liga Super.

Hidalgo (kanan) pasti bersedia untuk mengisi kekosongan yang mungkin ditinggalkan Arif Aiman. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Pulangan tersebut sekali gus membuktikan pemain berusia 26 tahun terbabit bersedia untuk diturunkan sebagai penyerang sayap, termasuk jika terpaksa mengisi kekosongan bakal ditinggalkan Arif Aiman.

Hidalgo sudah tentu berasa sedikit kekok pada awalnya, namun keterujaan untuk kembali beraksi sudah tentu akan membuatkannya menampilkan persembahan terbaik di tempat lawan.

2. Ibrahim Manusi

Kritikan hebat diterima pemain muda, Ibrahim Manusi ketika beraksi buat kali pertama dalam Piala FA menentang UM-Damansara United selepas kesilapannya menyaksikan benteng pertahanan JDT ditembusi.

Bagaimanapun, kesilapan tidak boleh diletakkan di bahu prospek JDT itu secara mutlak kerana dia terpaksa beraksi sebagai bek tengah walaupun dia lebih selesa sebagai pemain tengah bertahan.

Ibrahim (kanan) mampu memikul peranan Afiq Fazail dalam posisi tengah JDT. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Perlawanan menentang Penang FC merupakan peluang terbaik buat Ibrahim untuk menghapuskan pandangan serong terhadapnya jika diletakkan di posisi asalnya.

Peluang sememangnya terbuka kerana bekas tonggak Sri Pahang FC itu boleh menggantikan Afiq Fazail yang kini sedang sibuk dalam tugasan bersama skuad kebangsaan.

Meskipun masih terdapat pilihan lain seperti Nacho Mendez dan Hong Wan, Ibrahim boleh menjadi pilihan terbaik memandangkan dia sudah lama tidak beraksi secara kompetitif.

3. Christian Abad

Selain Ibrahim, seorang lagi pemain yang diberikan kritikan hebat selepas aksi menentang UM-Damansara United merupakan penjaga gol muda, Christian Abad selepas berkali-kali melakukan kesilapan.

Tiga gol dilepaskan dalam perlawanan itu sememangnya tidak menjejaskan kemaraan JDT dalam Piala FA, namun kegagalan merekodkan 'clean sheet' ketika berdepan kelab Liga A1 Semi Pro menjatuhkan standard kelab.

Abad (kiri) merupakan alternatif terbaik kepada Syihan di pentas domestik.Facebook/JOHOR Southern Tigers

Namun, ia bukanlah alasan untuk Munoz terus menepikannya daripada pasukan, lebih-lebih lagi sekiranya mahu memberikan waktu rehat buat Syihan yang dijangka terlibat dalam kedua-dua aksi skuad kebangsaan.

Pilihan juga boleh dikatakan sedikit terhad memandangkan seorang lagi penjaga gol senior, Andoni Zubiaurre dijangka tidak boleh beraksi kerana tidak didaftarkan untuk aksi domestik.

Sekiranya Christian Abad diberi peluang permainan, dia sudah tentu bersemangat untuk memberikan persembahan lebih cemerlang untuk bangkit dari kritikan diterimanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram