MISI penting menanti Selangor FC dalam perlawanan ketiga peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two apabila mereka akan bertandang ke Stadium Gelora Bandung Lautan Api, Indonesia untuk berdepan Persib Bandung pada Khamis.
Tiga mata diperlukan anak-anak buah Christophe Gamel dalam pertembungan berkenaan untuk mencerahkan semula peluang ke peringkat kalah mati setelah tewas dengan keputusan sama 2-4 dalam dua aksi pertama menentang Bangkok United dan Lion City Sailors.
Bagaimanapun, penyokong kelihatan semakin yakin akan kemampuan skuad Gergasi Merah susulan kemenangan selesa 4-0 ke atas Negeri Sembilan FC dalam suku akhir pertama Piala FA.
BACA LAGI: Mana kapten?' kehilangan Guaycochea resahkan fans Perak bertemu KDN
BACA LAGI: Perak wajib jadikan Guaycochea 'ramuan' istimewa sekat kemaraan JDT
'
Bojan mengakui cabaran dibawa Selangor FC ke Indonesia bagi aksi ketiga Kumpulan G ACL Two. — Agensi
Keputusan tersebut menyuntik keyakinan kepada wakil negara itu dengan pengendali Persib Bandung, Bojan Hodak memandang cabaran bakal dibawa Selangor FC tidak boleh diperkecilkan.
Malah, jurulatih dari Croatia itu sempat memuji kebangkitan ditonjolkan Faisal Halim yang sudah meledak tujuh gol dari enam penampilan dalam semua kejohanan.
Pandangan sama turut dikongsikan bintang kelab Indonesia terbabit iaitu Luciano Guaycochea yang memandang serius kemampuan skuad Gergasi Merah walaupun memulakan kempen ini dengan langkah kiri.
"Bagi saya, Selangor FC merupakan pasukan yang bagus, mereka adalah salah satu kelab terbaik di Liga Malaysia. Mungkin mereka tidak memulakan musim ini dengan baik, tetapi saya berasakan perlawanan menentang Bangkok United sepatutnya berpihak kepada mereka.
“Jadi, sudah tentu kami harus bersiap-sedia untuk menghadapi mereka dengan pasukan terbaik dan pemain-pemain yang bagus, terutamanya di posisi sayap dan jentera serangan," katanya.

Guaycochea pernah berdepan Selangor FC sebanyak tiga kali dalam kariernya. — Agensi
Luciano sememangnya memahami kebolehan Selangor FC kerana dalam kariernya, dia pernah berdepan pasukan itu sebanyak tiga kali semasa beraksi buat Perak FC.
Bagaimanapun, rekod pertemuannya menentang skuad Gergasi Merah tidak pernah berakhir dengan kemenangan yang sudah tentu memberi impak dari segi psikologi buat import dari Argentina berkenaan.
Dia kini menjadi tonggak utama buat Persib Bandung, termasuk di pentas ACL Two kerana kehadirannya dalam dua perlawanan awal membantu kelab Indonesia itu mengelak dari mengalami kekalahan.
Mereka menduduki tangga kedua Kumpulan G selepas mengumpul empat mata hasil keputusan seri ketika berdepan Lion City Sailors sebelum menang ke atas Bangkok United. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
